Tragedi kepala air: Mayat kesembilan ditemukan

SATU lagi mayat ditemukan dipercayai mangsa lemas yang dihanyutkan kepala air ketika berkelah di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih, Kemaman pada Sabtu lalu.

Menurut Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Azman Alias, penemuan mayat itu menjadikan seorang lagi baki mangsa yang masih hilang.

Jelasnya, mayat dipercayai lelaki tersebut dijumpai kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian sekitar pukul 9.20 pagi.

“Mayat tersebut dijumpai dengan cukup sifat terdampar di atas beting pasir di sektor A.

“Mayat dibawa naik dari sungai itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

Bagaimanapun, identiti masih belum disahkan secara rasmi oleh pihak berkuasa kerana pengecaman mayat belum dibuat waris.

Setakat ini, lapan jasad sekeluarga mangsa tragedi itu telah ditemukan sejak lima hari operasi pencarian dijalankan bermula Ahad lalu.

Jasad Allahyarham Karim dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta empat anak mereka iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, Putri Nurerina Natasya, 10, Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4, ditemukan pada Ahad dan Isnin manakala Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, dan adik tirinya, Putri Alleya Maisarah, 16, ditemukan pada Selasa.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *