PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Azmin Ali didakwa akan bertanding di DUN Hulu Kelang untuk pilihan raya negeri (PRN) Selangor pada bulan depan.
Spekulasi berkenaan perkara tersebut didakwa selepas bekas Menteri Besar Selangor itu aktif di DUN Hulu Kelang menjelang PRN.
Sumber PN memaklumkan, bekas Menteri Besar Selangor itu membuka pusat di DUN Hulu Kelang dan sudah memulakan gerak kerja.
Seawal Februari lalu Azmin mengumumkan ‘berehat sebentar’ daripada politik dan mahu membuat perancangan baharu.
Pada konvensyen jentera PN Selangor di Shah Alam bulan lepas, beliau menyatakan sedia untuk bertanding PRN sekiranya diarah parti.
“Kemungkinan besar dia calon di Hulu Kelang,” kata sumber berkenaan kepada FMT.
DUN Hulu Kelang merupakan kerusi majoriti Melayu yang dimenangi dan dipertahankan aktivitis reformasi dan pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah), Saari Sungib, selama tiga penggal berturut-turut.
Beliau yang memenangi DUN Hulu Kelang atas tiket Pas mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi itu pada PRN akan datang, kerana masalah kesihatan.
Sumber menyifatkan Azmin sebagai seseorang yang ‘dekat’ dengan DUN Hulu Kelang.
“Dia memang orang Hulu Kelang. Kalau ikut sejarah dia, pada 1999 pertama kali dia menang adalah sebagai ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Hulu Kelang. Jadi PRN kali ini dia kembali ke Hulu Kelang.”
Pada PRU15, Azmin gagal mempertahankan Parlimen Gombak yang disandang selama tiga penggal, di tangan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga anak didiknya.
Leave a Reply