Kes adik mati dicekik : Abang mangsa buli di asrama

BAPA kepada kanak-kanak yang maut dicekik abang kandung tidak menyangka keceriaan tiga daripada empat beradik makan serta bergelak tawa sehari sebelum kejadian adalah kenangan terakhir mereka bersama.

Najli Yakob,42, berkata, mangsa Muhammad Haziq Damiri Najli, 9, sememangnya rapat dengan abang sulung berusia 14 tahun itu, namun kelakuan remaja terbabit berubah selepas didakwa menjadi mangsa buli di asrama sejak tahun lalu.

Dia yang bekerja sebagai tukang urut, mendakwa anaknya sebelum ini pernah memberitahu dibuli dan percaya kesan perbuatan tersebut telah menyebabkan dia mengalami trauma hinggakan sering meracau.

Katanya, insiden mencekik bukan pertama kali berlaku, namun dia dan isterinya yang bekerja sebagai jururawat di Hospital Melaka juga pernah dicekik remaja terbabit sebelum berlaku tragedi hingga meragut nyawa anak ketiga daripada empat beradik.

“Dia (abang) pernah beritahu dicekik ketika tidur, dan disimbah air, malah laporan polis berhubung kejadian buli juga telah dibuat, akibat trauma dan pendam segalanya, saya yakin dia tak sedar apa yang telah dilakukan terhadap adiknya. Dia mengakui pernah ditumbuk, disepak guna kasut but namun selepas setahun dia tak lagi sebut nama dua pelajar itu kerana tak mahu dicederakan lagi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Piatu di Melaka, lapor SInar Harian.

Katanya, meskipun reda dengan pemergian kanak-kanak, namun berharap kedua-dua pembuli itu dikenakan tindakan agar tiada lagi pelajar yang menjadi mangsa seperti yang terpaksa dilalui oleh anaknya hinggakan adik meninggal dunia.

Bercerita lanjut, bapa kepada empat orang anak berusia empat hingga 14 tahun itu, berkata, mangsa tidak menunjukkan sebarang perubahan malah kelihatan lebih ceria termasuk ketika mereka bercuti bersama di Kuala Lumpur pada Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.

“Saya rasa bersalah sebab tinggalkan mereka berdua bersama, keadaan saya lemah dan longlai selepas dihubungi isteri memaklumkan arwah telah tiada,” katanya yang bergegas pulang ke rumah dari Terengganu.

Jenazah kanak-kanak lelaki itu dibawa ke rumah datuknya di Kampungku Sayang, Bukit Piatu sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Piatu.

Sinar Harian pada malam Rabu melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut dipercayai dicekik oleh abang sulungnya berusia 14 tahun dalam kejadian jam 12 tengah hari di Kampung Bukit Piatu.

Jiran mangsa yang juga saksi kejadian, Qhurun Ain Johani, 31, berkata, dia mengetahui insiden itu apabila dihubungi ibu mangsa yang memaklumkan anak sulung dari empat beradik itu sedang mencekik adiknya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *