Oleh MOHD LAZIM ENDUT
GELANGGANG Pilihan Raya Negeri (PRN) di Terengganu kini telah dibuka sebaik sahaja Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini dibubarkan secara rasmi pada 28 Jun lalu.
Pembubaran itu dibuat lebih awal daripada mandat yang sepatutnya tamat pada 30 Jun dimana ia telah diperkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.
Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula menetapkan 12 Ogos depan sebagai hari pengundian dan diadakan serentak melibatkan enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, serta Terengganu. Manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 29 Julai dan 8 Ogos.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh ketika mengumumkan tarikh-tarikh penting itu berkata lebih 9.73 juta pengundi layak bakal menjalankan tanggungjawab pada PRN di enam negeri terbabit.
Susulan itu, maka bermulalah episod awal PRN yang menyaksikan gendang rakyat mula bertabuh dengan jentera parti telah menggerakkan peranan dan tugas masing-masing. Calon-calonnya bakal diketahui tidak lama lagi, hanya menantikan saat dan ketika sahaja pertarungan sebenar akan bermula.
Memandangkan ia merupakan pilihanraya yang melibatkan enam negeri, maka perhatian rakyat kini sudah tentu tertumpu kepada Terengganu, Kelantan, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Walaupun ia baharu sahaja memasuki episod awal, namun suasana dan bahangnya telah mula dirasai. Markas-markas kini sedang dibina, manakala bendera parti pula sudah dinaikkan di lokasi strategik terutama di atas jambatan di negeri ini.
Bagi orang politik di Terengganu, sebahagian besarnya sudah bersedia untuk ‘berperang’. Tanpa mengira kaum, agama dan jantina, setiap jentera dilihat seperti terlalu ghairah dan taksub dalam usaha untuk memastikan kemenangan calon yang akan bertanding mewakili parti masing-masing.
Apa yang menarik perhatian ramai, PRN kali ini bakal menyaksikan persaingan sengit antara dua parti berseteru iaitu Perikatan Nasional (PN) (diwakili Pas dan Bersatu) serta Pakatan Harapan (PH diwakili PKR, Amanah dan DAP) dan Barisan Nasional (BN diwakili UMNO, MIC dan MCA).
Walaupun tumpuan lebih kepada dua gabungan parti ini yang akan bertanding di Terengganu, namun beberapa calon daripada parti lain termasuk Bebas, Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Pejuang dan Putra juga kemungkinan turut meletakkan calon.
Bagi pemerhati politik tempatan pula, mereka menyifatkan kehadiran calon-calon daripada parti lain tidak membawa ancaman besar kepada PN, kecuali BN. Namun, masalah dihadapi BN sekarang adalah membabitkan ahli di peringkat akar umbi terutama jentera parti yang dikatakan akan mengadakan ‘mogok’ sekiranya di kawasan DUN mereka diletakkan calon daripada PH.
Malah, seperti biasa kehadiran calon Bebas pula dilihat sebagai ada sesuatu yang tidak kena dan bakal dikaitkan dengan tindakan protes ekoran rasa tidak berpuas hati terhadap pemilihan calon. Persoalannya,apakah dalam PRN Terengganu pada kali ini akan turut menyaksikan kehadiran calon Bebas?
Sekiranya ada, bermakna penyakit barah dalam politik di negeri ini khususnya BN masih belum sembuh dan gagal dirawat. Sebagai sebuah parti politik tertua dan matang, BN seharusnya akur dan malu mengenai kesepaduan dan persefahaman dimiliki oleh PN terutama dalam menentukan agihan kerusi dan pemilihan calon pilihan raya.
Sebab itulah pemimpin PN tidak pernah ‘berkelahi’ mengenai agihan kerusi dan juga calon. Malah, parti terbabit dilihat lebih pentingkan perpaduan dan kesepakatan dalam parti-parti gabungan. Berbanding BN dan PH pertelingkahan mengenai agihan kerusi terus kedengaran walaupun DUN telah dibubarkan.
Justeru, pemerhati politik menyifatkan suasana yang tidak harmoni itu bakal meleraikan perpaduan dalam kalangan jentera parti, sekaligus memusnahkan harapan untuk mencapai kemenangan.
Dalam PRU-14 pada tahun 2018, Pas berjaya memerintah Terengganu setelah memenangi 22 daripada 32 kerusi DUN manakala BN pula hanya menang 10 kerusi sahaja yang kini dikatakan hampir ‘patah’.
Dan apakah 930,894 orang pengundi di negeri ini akan memilih dan terus memberi peluang kepada PN untuk memerintah Terengganu?
Leave a Reply