Anwar patut contohi politik matang Sanusi

Oleh BADLISHAH MAT

DATUK Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sering mengikuti ceramah atau menonton klip-klip video lawannya yang bukan sahaja menyerang partinya tetapi diri beliau selaku Menteri Besar Kedah.

Boleh dikatakan setiap hari ada sahaja ucapan atau kenyataan daripada kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sama ada di peringkat negeri atau Persekutuan yang berbentuk negatif terhadapnya.

Antaranya daripada Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr. Ismail Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor melalui media sosialnya.

Tetapi Muhammad Sanusi memahami bahawa perkara itu sebahagian asam garam dalam dunia politik yang sebaliknya memerlukan setiap persoalan dijawab dengan fakta.

Tidak sedikit pun ada rasa dendam atau sakit hati dalam diri Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu kerana beliau faham sebagai pemimpin ada beberapa ‘topi’ dan ‘kasut’ yang perlu dipakai mengikut kesesuaian masa.

Disebabkan faktor itulah tidak ada masalah untuk Muhammad Sanusi menerima kunjungan Dr. Ismail, pada petang semalam yang mana ketika ini beliau bertanggungjawab sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), agensi yang amat berkait rapat dengan negeri Kedah.

Tidak ada masa untuk ADUN Jeneri itu bermain politik dalam semua perkara walaupun beliau menyedari individu yang mahu berjumpanya itu adalah orang yang sama sering menyerangnya dalam setiap ucapan atau kandungan media sosial.

“Sebagai Pengerusi MADA dia buat temujanji saya terima, dia hantar surat saya segera bagi tarikh hari ini (semalam).

“Saya tak mau jadi PM (Perdana Menteri), hantar surat tiga kali tak mau jumpa walaupun Dr. Ismail hari-hari kata kat saya. Pi buka TikTok dia (tengok apa yang dia kata) tapi saya nak jumpa dia.

“Ini urusan pentadbiran kerajaan antara agensi Kerajaan Persekutuan yang ada di Kedah dengan kerajaan negeri. Saya kata perlu jumpa kerana itu urusan kerja, yang dia duk kata kat saya tak buat apa-apa tu hal politik,” katanya memetik intipati sidang akhbar beliau selepas Mesyuarat Exco Kedah, semalam.

Begitulah betapa profesional dan berjiwa besarnya Muhammad Sanusi yang sering dilabel sebagai lantang, samseng dan suka mencari gaduh walhal perkara yang terjadi semalam mencerminkan sikap sebenarnya.

Sikap dan karakter seperti itulah yang sebenarnya perlu dijadikan contoh oleh semua pemimpin politik tidak kira yang berjawatan besar atau kecil, berkedudukan tinggi atau rendah untuk profesional.

Semua orang tahu bagaimana ahli politik perlu menjalankan peranan mereka tetapi tidak semua perkara perlu dipolitikkan sehingga akhirnya yang rugi adalah rakyat.

Contoh yang ditunjukkan Muhammad Sanusi itu perlu dicontohi Datuk Seri Anwar Ibrahim agar segera memberi tarikh untuk mengadakan perjumpaan government to government (G2G) antara Putrajaya dan Alor Setar.

Anwar boleh sahaja mencuri sedikit waktu lapangnya yang kerap menjelajah Kedah semenjak dua menjak ini untuk bertemu Muhammad Sanusi sambil menikmati peknga bersama gulai ikan.

Atau jika tidak sempat kerana programnya yang padat perlu berjumpa para pelajar di sana sini, rasanya tidak ada masalah untuk Muhammad Sanusi berkunjung ke Seri Perdana atau mana-mana tempat yang Anwar selesa.

Kerana tidak ada ruginya untuk seorang Perdana Menteri mendengar hasrat daripada sebuah kerajaan negeri yang berbeza fahaman politiknya kerana pembentukan Malaysia juga melibatkan negeri Kedah Darul Aman.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *