AHLI PKR yang berminat menjadi calon parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung 12 Ogos ini, dipelawa tampil menawarkan diri dengan menghantar borang pencalonan masing-masing.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, berkata tawaran itu dibuat sebagai antara usaha memulakan proses pemilihan calon yang demokratik, telus dan objektif.
Beliau berkata, ia juga dapat meyakinkan bakat-bakat dalam kalangan anggota parti dan rakyat biasa untuk tampil menyahut seruan berkhidmat kepada masyarakat melalui platform PKR.
“Perkara ini sebenarnya sudah bermula dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu. Proses yang telus ini juga penting bagi meyakinkan pengundi bahawa PKR sebagai sebuah parti reformasi sentiasa serius untuk menampilkan calon yang berkualiti dan berwibawa.
“Oleh itu bagi menghadapi pilihan raya di enam negeri pada Ogos ini, saya menjemput mana-mana anggota PKR yang ingin menawarkan diri sebagai calon untuk menghantar borang pencalonan mengikut kaedah yang telah ditetapkan oleh Majlis Pimpinan Pusat Parti,” katanya lapor Berita Harian
Rafizi yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR, berkata mana-mana ahli yang berminat boleh menawarkan diri sebagai calon dengan mengisi borang dalam talian yang boleh dilayari melalui pautan www.calonkeadilan.org.
Katanya, borang itu boleh diakses bermula Khamis sehingga tarikh tutup permohonan iaitu 10 Julai 2023, jam 5 petang.
“Antara syarat kelayakan yang perlu dipenuhi ialah individu yang memohon mestilah anggota PKR yang berusia 18 tahun ke atas, tidak muflis yang telah disahkan oleh Jabatan Insolvensi dan tidak memiliki rekod jenayah, selain daripada sabitan melibatkan kepentingan rakyat.
“Mereka juga mesti mengisytiharkan harta serta bersedia untuk menandatangani bon ikrar setia sebagai wakil rakyat PKR,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Rafizi berkata, kepimpinan PKR di semua peringkat juga boleh menamakan calon yang telah dipersetujui di peringkat jawatankuasa masing-masing untuk diangkat kepada pertimbangan Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat.
Katanya, proses itu terbuka kepada Jawatankuasa Cabang bagi kawasan yang ditandingi PKR, Majlis Pimpinan AMK Pusat (MPAMK) dan Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) PKR.
“Memahami sentimen pengundi yang mahukan parti menampilkan calon yang berkualiti, kita juga menetapkan proses saringan calon yang adil dan telus. Proses saringan ini akan dikendalikan Jawatankuasa Calon yang dipengerusikan saya selaku Pengarah Pilihan Raya dan dianggotai tujuh Naib Presiden PKR.
“Seperti termaktub dalam perlembagaan parti, kuasa memilih calon adalah hak mutlak presiden. Justeru, Jawatankuasa Calon bertanggungjawab membuat penapisan dan menyenarai pendek tiga calon terbaik untuk diangkat kepada Presiden PKR yang akan memuktamadkan satu nama sebagai calon,” katanya.
Leave a Reply