SELEPAS tiga tahun “bersengketa” angkara Langkah Sheraton, dua bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi bertemu untuk membincangkan kerjasama menerusi Proklamasi Orang Melayu.
Pengerusi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, perjumpaan dua tokoh pemimpin itu bakal memberi semangat baharu dalam usaha memperkasakan serta menguatkan kedudukan orang Melayu.
“Kedua tokoh pemimpin Melayu ini sanggup ketepikan segala perbezaan fahaman politik lampau demi menjaminkan kelangsungan perjuangan untuk memperkasakan kedudukan anak bangsa di bumi bertuah ini.
“Sifat terpuji Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal menjadi satu sandaran baharu kepada keseluruhan orang-orang Melayu yang amat ‘dahagakan’ penyatuan atau perpaduan Melayu secara mutlak,” kata beliau dalam kenyataan.
Pertemuan selama satu jam 45 minit itu, kata Khairuddin, merupakan satu manifestasi penyatuan Melayu secara total yang sedang diusahakan oleh Dr Mahathir demi memenuhi harapan serta impian keseluruhan orang-orang Melayu.
“Sesungguhnya, gerakan Proklamasi Orang Melayu secara ‘non partisan’ membuka pintu secara seluas-luasnya kepada mana-mana individu-individu Melayu yang bersemangat untuk bersatu-padu tanpa kira apa saja fahaman ideologi politik masing-masing.
“Sekretariat Proklamasi Orang Melayu akan mengembangkan satu daya-usaha untuk menyatupadukan keseluruhan umat melayu secara ‘total’ seterusnya mengenal-pasti segala polemik permasalahan dan memperkenalkan formula penyelesaian ke atas setiap masalah-masalah yang membelenggui kita selama ini,” jelas Khairuddin lagi.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu sebelum ini menyatakan persetujuan untuk bertemu dengan Dr. Mahathir berkait Proklamasi Orang Melayu selepas sambutan Aidiladha.
Katanya, beliau membaca 12 agenda dalam proklamasi itu yang disifatkannya agak baik dan menjadi asas prinsip perjuangan parti pimpinannya.
Menurut Muhyiddin , agenda dalam perlembagaan negara, hak istimewa orang Melayu dan Islam selain memartabatkan ekonomi bangsa sudah lama diperjuangkan Bersatu, lebih awal daripada Proklamasi Orang Melayu diasaskan Mahathir, Mac lalu.
Dr. Mahathir sebelum ini berkata, proklamasi itu bertujuan menyatukan orang Melayu melangkaui garis politik. Ia menarik sokongan dan ditandatangani beberapa pemimpin parti pembangkang termasuk Presiden Pas Tan Sri Hadi Awang dan Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu atas kapasiti persendirian.
Awal Jun, Mahathir dilaporkan berkata sedia bekerjasama dengan Muhyiddin sekali lagi, tiga tahun selepas hubungan mereka renggang susulan “Langkah Sheraton”, menyaksikan pentadbiran beliau ketika itu tumbang dan digantikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Ahli Parlimen Pagoh berkenaan.
Leave a Reply