PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) berharap Perikatan Nasional (PN) dapat mempertimbangkan dengan sewajarnya untuk parti itu bekerjasama dengan gabungan tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, ia bagi memastikan pertandingan satu lawan satu khususnya antara gabungan PN dan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada PRN kelak.
Jelas beliau, Pejuang tidak mahu dilihat sebagai faktor ‘pengacau’ atau yang boleh memecahbelahkan undi khususnya undi Melayu pada PRN memandangkan penyatuan undi Melayu adalah cara terbaik untuk PN menentang PH-BN.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan maklum balas yang diterima daripada pemimpin PN untuk parti tersebut menyertai gabungan parti politik berkenaan sebagai tidak konsisten (pasang surut).
“Respon pasang surut daripada PN, pada mulanya saya sendiri ada berjumpa dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin; Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
“Memang dari awal kami optimistik dan menerima respon positif, jadi apabila kami mohon sertai PN dan ditolak, kami rasa kecewa.
“Tetapi sekarang timbul pula harapan itu, jadi kami harap PN dapat beri pertimbangan sewajarnya,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Syarahan Umum Pelantikan Profesor bertajuk: Persetujuan Dan Percanggahan Dalam Arena Politik Malaysia yang disampaikan oleh Prof. Dr. P. Sivamurugan di Universiti Sains Malaysia (USM), George Town, Pulau Pinang hari ini.
Semalam, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Muhyiddin dilaporkan mengadakan pertemuan hampir dua jam di rumah Dr. Mahathir di Kuala Lumpur bagi merintis kerjasama pada gerakan Proklamasi Orang Melayu.
Menurut Mukhriz, pihaknya beranggapan penyatuan undi Melayu akan menjadi formula terbaik untuk memastikan kemenangan apabila berhadapan dengan gabungan PH-BN.
“(Tetapi) buat masa ini, belum ada lagi keputusan dan kita menantikan kalau ada berita baik setelah Dr. Mahathir berjumpa Muhyiddin semalam,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Pejuang juga tidak bercita-cita untuk menguasai politik negara atau membentuk kerajaan secara bersendirian kerana menyedari kemampuan mereka ketika ini.
“Kita juga tidak bercita-cita mahu menjadi Menteri Besar atau kerajaan secara bersendirian, kita mesti bergabung dengan pihak lain dan kita nampak PN adalah gabungan terbesar yang dapat beri saingan sengit kepada PH-BN dan Kerajaan Pusat,” katanya.
Leave a Reply