PRN : ”Nak kempen apa lagi…sekarangpun dah mula kempen” – Sanusi

Oleh RIZQI ZABIDI

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyifatkan tempoh berkempen selama 14 hari pada pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi sebagai berlebihan ketika pihak-pihak tertentu sudah pun memulakan gerak kerja kempen sejak kebelakangan ini.

Menurut Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu, sekarang ini pun pihak tertentu sudah memulakan kempen termasuk dengan melaksanakan fitnah dan mereka cerita tidak betul.

“Saya rasa rakyat dah tahu apa yang sedang berlaku, jadi nak kempen apa lagi? Sekarang pun dah dimulakan (kempen) tetapi kalau mula dengan fitnah dan cerita tak betul, saya takut habis tempoh berkempen nanti masuk neraka semuanya. Mereka kata tak boleh bercakap tentang agama. Saya nak beri ingatan bahawa politik pun ada urusan agama juga. Ada dosa serta pahalanya dan kalau cakap tak betul atau fitnah orang lain, akan masuk neraka kalau tuhan tak ampunkan.

“Takkan yang itu pun tak boleh bercakap? Kalau tak boleh teruklah kerana memisahkan agama dan politik seolah-olah dah jadi sekular. Macam zaman revolusi di barat sekularkan semua urusan kehidupan dan kita tak boleh buat begitu.

“Dalam urusan politik, rumah tangga, ekonomi, Pejabat Menteri Besar dan pentadbiran, semuanya ada dosa pahala. Tak boleh pisahkan dan tak boleh larang orang bercakap benda itu kerana kita perlu ingatkan orang bahawa buat fitnah adalah dosa. Di akhirat nanti tunggulah, ada balasan dia,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman Alor Setar hari ini.

Beliau mengulas keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini yang menetapkan tarikh pengundian bagi pilihan raya negeri (PRN) serentak di enam negeri pada 12 ogos ini manakala hari penamaan calon pula ditetapkan pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.

Mengulas lanjut Sanusi berkata, tarikh pengundian yang ditetapkan pada 12 Ogos itu cukup sesuai dan jemaah haji juga sudah pulang ke tanah air.

“Lagi pun saya rasa mereka (Pemimpin kerajaan) perlukan masa kerana belum habis pusing di institusi pengajian tinggi (IPT) lagi,” katanya sinis.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *