TAN Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr.Mahathir Mohamad bersetuju pada dasarnya untuk mengukuhkan perpaduan orang Melayu.
Selain itu menurut Muhyiddin yang mengadakan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri itu malam tadi, mereka juga bersetuju untuk berusaha meningkatkan sokongan kepada Perikatan Nasional khususnya dalam menghadapi pilihan raya di enam buah negeri tidak lama lagi.
‘’Alhamdulilah, pertemuan empat mata ini telah berjalan dalam suasana yang mesra dan saling hormat-menghormati antara kami berdua. Kami telah berbincang panjang lebar tentang kedudukan dan masa depan orang Melayu tanpa menyentuh Proklamasi Orang Melayu secara khusus,’’ katanya dalam Facebook beliau.
Dalam satu kenyataan semalam Pengerusi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, perjumpaan dua tokoh pemimpin itu bakal memberi semangat baharu dalam usaha memperkasakan serta menguatkan kedudukan orang Melayu.
“Kedua tokoh pemimpin Melayu ini sanggup ketepikan segala perbezaan fahaman politik lampau demi menjaminkan kelangsungan perjuangan untuk memperkasakan kedudukan anak bangsa di bumi bertuah ini.
“Sifat terpuji Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal menjadi satu sandaran baharu kepada keseluruhan orang-orang Melayu yang amat ‘dahagakan’ penyatuan atau perpaduan Melayu secara mutlak,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Pertemuan selama satu jam 45 minit itu, kata Khairuddin, merupakan satu manifestasi penyatuan Melayu secara total yang sedang diusahakan oleh Dr Mahathir demi memenuhi harapan serta impian keseluruhan orang-orang Melayu.
Leave a Reply