MCA,MIC buat keputusan tak tanding PRN

DUA parti komponen utama Barisan Nasional (BN) MCA dan MIC hari ini membuat keputusan tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini.

Setiausaha Agung Chong Sin Woon berkata MCA membuat keputusan itu selepas mengambil kira “situasi politik semasa”.

“Keputusan ini dicapai selepas perbincangan secara mendalam dan analisis, serta mengambil kira situasi politik semasa, di mana parti akan melaksanakan pembaharuan dan kebangkitan semula,” katanya dalam kenyataan, tanpa huraian lanjut, lapor FMT.

Beliau berkata, MCA akan memainkan peranan sebagai komponen BN untuk membantu calon gabungan itu pada PRN kelak.

Dalam pada itu, Chong berkata MCA akan lebih menumpukan persediaan berdepan PRU-16.

Beliau berkata, MCA menegaskan berpegang teguh kepada falsafah penubuhan partinya, iaitu mana-mana keputusan diambil parti harus selari prinsip Perlembagaan Persekutuan.

“…yang menjamin kesederhanaan, kebebasan, dan demokrasi, di samping menjaga hak dan kepentingan rakyat sebagai agenda utama kami,” katanya.

Pada 27 Jun, Pengerusi BN Zahid Hamidi beri jaminan MCA dan MIC akan diberi kerusi pada PRN di enam negeri.

Katanya, jika ada sebarang desas desus mendakwa ada peminggiran dalam kalangan komponen BN perlu dihentikan, sambil menambah MCA dan MIC akan diberi kawasan sesuai dan “boleh menang”.

SEMENTARA itu, Setiausaha Agung, RT Rajasekaran, berkata keputusan sebulat suara itu susulan perbincangan lebih empat jam Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, yang diadakan pada 30 Jun.

“Keputusan ini telah dicapai selepas perbincangan selama lebih kurang 4 jam, setelah meneliti keadaan politik semasa dan mendengar pandangan setiap ahli CWC,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, pengundi di enam negeri Semenanjung akan memilih wakil masing-masing pada 12 Ogos, sementara pengundian awal pada 8 Ogos.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Abdul Ghani Salleh, mengumumkan hari penamaan bagi PRU15 peringkat negeri di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, dan Terengganu pada 29 Julai.

Ghani berkata, tempoh berkempen selama 14 hari bermula 29 Julai hingga 11 Ogos.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *