MASA serah laporan pertama UPR kepada UNHRC

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

INSTITUT Masa Depan Malaysia (MASA) hari ini menyerahkan laporan pertamanya untuk Semakan Berkala Sejagat (UPR) Pusingan Ke-4 bagi Malaysia kepada Jawatankuasa Kerja, Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) di Geneva, Switzerland.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azril Mohd. Amin berkata, langkah itu selepas MASA selaku badan pemikir bebas telah menjalankan kajian bagi mengenal pasti dan mengetengahkan hak-hak ekonomi, sosial dan budaya (ESCR) berhubung impak projek mega penambakan laut terhadap komuniti pesisir pantai di Pulau Pinang.

“Walaupun projek tambakan laut membawa naratif untuk meningkatkan taraf hidup penduduk, natijahnya ia membawa kesan berpanjangan terhadap pelbagai aspek kehidupan masyarakat, termasuk nyawa, ekonomi dan alam sekitar yang mungkin menghalang aspek ESCR.

“Seramai 10 penyelidik yang pakar dalam bidang masing-masing dari universiti tempatan, pengamal undang-undang, penganalisis dan aktivis telah berkumpul dan menyumbang idea serta pandangan dalam penyediaan laporan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, laporan itu mengetengahkan tema, memperluaskan ruang demokratik, memperkukuh kedaulatan undang-undang, mempromosi rasa hormat dan melindungi hak-hak asasi manusia di Malaysia.

Jelasnya, projek mega di Pulau Pinang itu adalah contoh ketidakadilan ruang (spatial injustice) bila mana perspektif ruang kritikal serta dimensi ESCR tidak diambil kira dan mendapat perhatian saksama yang sewajarnya dalam proses perancangan projek berkenaan.

Dalam hal ini katanya, MASA mengambil tanggungjawab untuk mengetengahkan dimensi ekonomi dan sosial kesan daripada pengambilan ruang awam di bandar, bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelbagai pihak yang terlibat dalam aktiviti penambakan laut tersebut.

Katanya lagi, laporan UPR itu adalah seiring dengan matlamat MASA untuk mempromosikan kemakmuran dalam kalangan rakyat Malaysia dan memastikan tidak ada yang ketinggalan seperti termaktub dalam tiga
teras Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).

Jelasnya, wawasan itu merangkumi pembangunan untuk semua, mencapai taraf hidup selesa dan agihan saksama ke arah negara yang makmur, bersatu serta bermaruah.

“Matlamat ini juga bertepatan dengan prinsip dan pendekatan MASA sejak penubuhannya pada 2019 untuk menyediakan penyelidikan berkualiti, cadangan polisi dan analisis isu-isu dasar awam berpandukan data, berpaksikan nilai-nilai kemakmuran bersama.

“Ini juga selaras dengan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) 1948, Deklarasi Hak Asasi Manusia dalam Islam (CDHRI) 1990, Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN 2012 dan Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

Penyertaan MASA dalam Proses UPR kata Azril, akan memperkukuhkan suara pertubuhan masyarakat sivil (CSO) membangkitkan isu ESCR dalam rangka kerja yang tepat dan berwibawa.

MASA akan mempergiatkan usaha untuk mempertahankan hak-hak ekonomi, sosial dan budaya masyarakat Malaysia berdasarkan acuan sendiri, selaras dengan kedudukan Malaysia sebagai anggota Majlis Hak Asasi Manusia bagi penggal 2022-2024, katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *