Kecoh di KLIA: SPRM mula siasatan penuh-Saifuddin

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memulakan siasatan penuh berhubung dakwaan berlakunya kegiatan rasuah di pintu masuk negara, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Perkara tersebut disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menerusi pertemuan singkat hari ini.

Saifuddin mengakui komitmen dan tahap perkhidmatan yang baik dilaksanakan sebahagian besar anggota dan pegawai Jabatan Imigresen.

Namun katanya, dalam masa sama, jemaah menteri tidak menafikan penglibatan pegawai terbabit rasuah seperti insiden yang didakwa.

“Jadi kami beri kerjasama penuh kepada SPRM meneruskan siasatan sehingga selesai untuk sahkan sama ada berlaku atau tidak,” katanya pada sidang media Khas di Putrajaya hari ini.

Pada masa sama, Saifuddin berkata, barisan kabinet turut mengarahkan agar peranan sebuah syarikat yang dilantik bagi menguruskan pengembara yang dikenakan Notis Penolakan Masuk (NTL) diteliti semula.

Jelas beliau, syarikat yang dilantik sejak 2015 itu bertanggungjawab dalam menguruskan proses penghantaran pulang pengembara dikenakan NTL.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengadakan sidang media di Kementerian Dalam Negeri Putrajaya, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

“Misalnya urusan tiket kapal terbang untuk balik. Mungkin apabila diminta untuk membayar kos tiket, ia seolah-olah dianggap imigresen minta duit.

“Jemaah menteri tadi minta Menteri Pengangkutan melihat aspek ini adakah ini amalan biasa atau bagaimana,” katanya, lapor Sinar Harian.

Beliau juga menjelaskan, sejak Januari hingga Jun 2023, hanya 0.07 peratus NTL dikeluarkan terhadap pengembara dari China, berbanding sejumlah 592,490 kemasukan yang direkodkan.

Katanya, angka tersebut amat kecil berbanding pengembara China yang dibenarkan masuk ke negara ini.

“NTL juga dikenakan terhadap pengembara dari negara lain dan lebih tinggi berbanding NTL dikenakan terhadap warga China.

“Ini gambaran lebih jelas menunjukkan jika sekatan dikenakan, pasti ada sebabnya,” katanya.

Baru-baru ini tular mengenai kekecohan tercetus di KLIA apabila seorang menteri didakwa menceroboh balai ketibaan lapangan terbang untuk ‘menyelamatkan’ seorang pelancong dari China.

Mengakui dirinya yang dikaitkan dengan kejadian itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menjelaskan kehadirannya ke KLIA membongkar budaya rasuah dalam kalangan pegawai di pintu masuk masuk negara.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *