KDN serah nama pegawai JPN didakwa minta sogokan kepada SPRM

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) akan menyerahkan nama seorang pegawai Jabatan Perdaftaran Negara (JPN) yang dipercayai terlibat meminta sejumlah wang yang besar untuk kelulusan permohonan warganegara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, aduan berhubung salah laku itu dilaporkan terus kepada beliau.

“Nama pegawai JPN yang meminta sogokan itu akan diserahkan kepada SPRM hari ini.

“Sekarang ini ada aduan yang spesifik meminta wang daripada orang yang memohon warganegara yang apabila diketahui telah diluluskan maka diminta sejumlah wang dan itu perbuatan yang salah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengadakan sidang media di Kementerian Dalam Negeri Putrajaya, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

“Jadi bila ada aduan spesifik begitu dengan nama dan sebagainya, saya serah supaya berlaku adil, biar prosesnya mengambil tempat, SPRM siasat.

“Kita tak boleh buat spekulasi bahawa ini satu-satu aduan, adakah seorang, tak bolehlah begitu.

“Saya cuma sebut bahawa ini adalah aduan spesifik yang sampai kepada saya, segera saya adu kepada SPRM,” katanya pada sidang media khas di KDN, Putrajaya hari ini.

Saifuddin menjelaskan, tidak ada sebarang pembayaran dikenakan dalam urusan permohonan kewarganegaraan dan pemohon tidak perlu melayan sebarang bentuk permintaan pembayaran.

“Bagi permohonan kewarganegaraan ini ada satu ‘committee’ yang akan membuat pertimbangan dan akan mengesyorkan sama ada ia lulus atau tidak.

“Pemohon akan dimaklumkan tentang kelulusan permohonannya dan tidak ada sebarang bayaran dikenakan,” katanya, lapor Astro Awani.

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan wujudnya amalan salah laku dalam kalangan pegawai JPN berhubung permohonan kewarganegaraan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *