PELAWAK dan penyampai radio Shuib menyifatkan tuduhan mengenai isterinya Allahyarham Siti Sarah yang ditidurkan sebagai salah satu agenda Freemason adalah fitnah melampau sehingga memberi kesan terhadap anak-anak dan keluarganya.
Shuib atau Shahmira Muhammad, 39, bagaimanapun bertindak memaafkan salah seorang individu yang memfitnah iaitu Zulhairi Othman, 35, yang mencetuskan isu tersebut pada sidang media tergempar di Cheras, hari ini.
Jelas Shuib, dakwaan yang mengatakan dia memaksa Siti Sarah ‘ditidurkan’ atas arahan dakyah organisasi tertutup Freemason adalah satu tuduhan bersifat dangkal.
“Saya masih boleh terima bila dituduh ahli Freemason walaupun tuduhan itu tak betul 100 peratus.
“Bila pemfitnah itu libatkan pula arwah isterinya ‘ditidurkan’ atas arahan pertubuhan itu, ia tuduhan sangat bodoh dan melampau.
“Tuduhan itu akan mendatangkan kekeliruan kepada orang ramai sedangkan saya yang menghantar arwah ke hospital dan saya jugalah yang menjadi orang terakhir melihat arwah sebelum ditutup dengan pembungkus plastik mayat.
“Arwah dia dijaga baik oleh doktor dan jururawat. Jadi macam mana pula boleh timbul isu saya bunuh Sarah?,” katanya lapor Utusan TV.
Sidang media yang berlangsung hampir sejam itu pada awalnya sedikit tegang dan Shuib dilihat agak beremosi namun mampu dikawal selepas melihat Zulhairi yang menunjukkan kekesalan atas khilaf yang dilakukan.
Tambah Shuib, beliau membuat keputusan untuk menerima permohonan maaf Zulhairi disebabkan sifat ikhlas pemuda itu.
“Saya maafkan dia kerana dia berani, ‘gentle’ dan ada usaha untuk mencari saya serta mengaku kesalahan dia.
“Semalam dia pun mahu mencari saya. Lepas saya hubungi dia, saya nampak dia seorang yang naif.
“Kalau ikutkan memang saya marah tapi saya ada sifat perikemanusiaan. Saya pun fikir dia ada anak-anak dan isteri serta kerjaya.
“Saya maafkan dia dan beri peluang untuk dia jelaskan apa tujuan di sebalik hantaran yang dia lakukan itu,” katanya.
Leave a Reply