Tragedi kepala air Jeram Putih: Mayat ketujuh dijumpai pagi tadi

MAYAT seorang lagi mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih di Kemaman, ditemui kira-kira 7.45 pagi tadi.

Ini menjadikan kesemuanya tujuh mayat telah ditemui setakat ini dan tiga masih hilang, lapor Astro AWANI.

Mayat dipercayai remaja perempuan itu difahamkan dijumpai di belakang Masjid Dadong.

Bagaimanapun, identiti mangsa belum disahkan berikutan pengecaman mayat belum dibuat oleh waris dan masih menunggu pengesahan pihak berkuasa.

Setakat petang semalam, enam mayat telah ditemui dan disahkan waris serta keluarga mangsa.

Empat mayat ditemukan semalam ialah Karim Abdullah, 39 tahun, Putri Aryana Umaira Karim, 4 tahun, Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6 tahun, dan Putri Nurerina Natasya Karim, 10 tahun.

Kelmarin, media melaporkan 10 mangsa termasuk sembilan sekeluarga dihanyutkan arus deras kepala air sewaktu berkelah di Jeram Air Putih pada Sabtu.

Dua mayat pertama ditemukan pada Ahad iaitu, Azizah Eiyi, 40 tahun, dan anaknya, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11 tahun.

Semalam, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada pukul 5 petang atas faktor cuaca berikutan kelihatan tanda-tanda akan berlakunya hujan lebat.

Memasuki hari ketiga, operasi diteruskan pukul 9 pagi ini dengan pencarian masih tertumpu di pecahan tiga sektor A, B dan C di sepanjang Sungai Air Putih, Sungai Teladas dan Sungai Pinang sejauh 35 kilometer dengan kekuatan 168 anggota daripada pelbagai agensi penyelamat.

Pasukan SAR juga turut menerima penambahan dua ekor lagi anjing pengesan K9 daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *