TIMBALAN Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan memberi bayangan akan bertanding mempertahankan kerusi DUN Rantau pada PRN akan datang.
“Insya-Allah (akan bertanding),” katanya pada sidang media di Wisma Pertahanan, lapor portal FMT.
Pengarah Pilihan raya BN itu berkata demikian ketika menjawab soalan media sama ada beliau akan mempertahankan kerusi tersebut.
Mohamad yang juga Menteri Pertahanan sebelum itu secara berseloroh berkata, jika wartawan mahunya kekal di Rantau, maka beliau akan bertanding di kawasan tersebut.
“Apa pendapat wartawan, nak saya bertanding atau tidak? Perlu kalau begitu saya isytiharkan akan bertanding di DUN Rantau,” katanya.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu adalah penyandang kerusi DUN Rantau sejak 2004.
Sementara itu, Mohamad yakin BN-PH mampu memenangi Kedah dan Terengganu pada PRN berdasarkan gerak kerja jentera parti di negeri berkenaan.
“Tapi peluang menang di Kedah dan Terengganu itu ada. Di Kelantan boleh tambah kerusi jika kita bersungguh-untuk menang di kawasan masing-masing. Terpulang kepada pemimpin tempatan untuk mereka pastikan kerusi yang kalah selama ini untuk kita menang,” katanya.
Mengenai pemilihan calon BN pula, Mohamad berkata ketika ini ia belum dimuktamadkan.
Menurutnya, pemilihan calon pada PRN kali ini tidak menggunakan formula jumlah muka baharu sebaliknya calon boleh menang.
“Yang penting masuk PRN ini nak menang, jadi calon yang boleh memenangkan itu penting. Kita tak letak ratio (calon) muka baharu, muka lama. Kalau muka lama, kalau saya boleh bertanding takkan nak buang saya kan,” katanya.
Leave a Reply