Sangka budak main mercun, rupanya rumah ditembak

SEORANG wanita terkejut dan tidak menyangka bunyi kuat yang disangkanya daripada budak bermain mercun rupanya beberapa das tembakan yang dilepaskan ke rumahnya di kediamannya di Bagan Serai, awal pagi tadi.

“Saya sangkakan budak nakal main mercun tapi takkan pada waktu pagi,” kata pemilik rumah berusia 50-an itu yang enggan dikenali.

Dalam kejadian 2.50 pagi itu, mangsa baru keluar dari bilik air sebelum terdengar bunyi letupan di pekarangan rumah yang sangkanya ada orang bermain mercun.

Dia berkata, sebaik melihat keluar tingkap, mendapati seorang lelaki bertopeng dan memegang senjata dipercayai pistol melepaskan tembakan rambang.

“Saya segera mengejutkan suami yang tidur dan menghubungi polis memaklumkan kejadian,” katanya ditemui pagi tadi, lapor Harian Metro.

Menurutnya, suaminya juga berusia 50-an adalah pengusaha kerang dan tidak mempunyai sebarang musuh.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pemeriksaan mendapati terdapat kesan tembakan pada kereta, motosikal serta pintu cermin rumah mangsa.

“Turut ditemukan lima kelongsong peluru kaliber 9mm. Dalam kejadian itu, mangsa tinggal bersama suami dan empat anak,” katanya.

Beliau berkata, suspek yang menunggang motosikal melepaskan beberapa das tembakan ke arah rumah mangsa dan polis masih menyiasat motif kejadian.

“Polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Zulhilmi Dahon di nombor talian 0132604403 atau balai polis berhampiran,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *