SEORANG pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa DAP bukan saja tidak menghormati Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri buat kali kedua pada 2018, bahkan mengugutnya sehingga menyumbang kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris mendedahkan DAP kerap mengancam pentadbiran Mahathir ketika itu dengan pelbagai ugutan, termasuk memaksanya membina lebih banyak sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC).
“Contoh paling nyata semasa pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai. Salah satu DUN (Dewan Undangan Negeri) ialah Pekan Nanas, masa ini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu daripada DAP dan Lim Guan Eng (setiausaha agung DAP ketika itu) datang jumpa Tun dan berkata sekiranya tak dirikan SJKC di Pekan Nanas, orang Cina DAP takkan sokong calon PH di Tanjung Piai.
“Demi menarik undi dan menjaga hati rakan kongsinya, Mahathir terpaksa akur dengan desakan DAP membina SJKC di Tanjung Piai dan akhirnya PH kalah besar dalam PRK itu,” katanya yang ketika itu ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.
Razali memberitahu FMT, Bersatu yang juga sekutu PH ketika itu tidak senang dengan pelbagai ugutan DAP terhadap pentadbiran Mahathir.
Antara yang tegas membantah ‘permintaan’ DAP ialah Menteri Pendidikan ketika itu, Dr. Maszlee Malik yang tidak mahu mendirikan SJKC atau sekolah jenis kebangsaan Tamil baharu.
Katanya, DAP juga mendesak Mahathir menyalurkan peruntukan sama rata kepada semua rumah ibadat tanpa mengira agama.
“Peruntukan untuk surau dah ada dalam bajet setiap tahun, tetapi peruntukan untuk rumah ibadat bukan Islam ini adalah ehsan kerajaan kerana rumah ibadat bukan Islam tak banyak seperti masjid dan surau.
“Tapi Guan Eng buat desakan juga, ugut bermacam-macam minta peruntukan mesti sama rata…jadi Tun agak susah menangani DAP ketika dia jadi PM kali kedua.
“Sebenarnya, banyak lagi desakan atau ugutan yang DAP buat ketika itu,” katanya mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menyangkal dakwaan Mahathir bahawa parti itu tidak pernah mengugut dan menarik sokongan sepanjang 22 bulan PH berkuasa.
Ia menyusul kenyataan Mahathir mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘terpaksa mengikut manifesto DAP’ akibat pengaruh parti itu ke atas kerajaan.
Bekas ahli MPT Bersatu, Datuk Zuraida Kamaruddin turut mendedahkan DAP secara terang-terangan mengugut Mahathir di pentas ceramah PRK Sandakan pada Mei 2019, dengan Lim Kit Siang memberi amaran akan melepaskan jawatan penasihat DAP sekiranya Mahathir tidak menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar.
“Kenyataan daripada pemimpin DAP paling berpengaruh ketika itu telah menyebabkan banyak pihak dalam PH merasa tidak selesa dan mula mempertikaikan niat sebenar DAP.
“Oleh itu, saya ingin mengingatkan Loke dan pemimpin DAP lain tidak bersikap ‘lempar batu sembunyi tangan’ berkaitan peletakan jawatan Mahathir setelah 22 bulan memerintah negara.
“Sikap DAP yang tidak ikhlas dalam menyokong pentadbiran Mahathir ketika itu secara langsung turut menyumbang kepada peletakan jawatan perdana menteri ketujuh ketika itu,” katanya dalam kenyataan.
Leave a Reply