pelantikan

Tragedi kepala air: Tubuh jawatankuasa kenal pasti lokasi panas-MB

KERAJAAN Negeri Terengganu mempertimbangkan penubuhan jawatankuasa bagi mengenal pasti lokasi panas berlakunya kepala air di negeri itu.

Menteri Besarnya,, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat kerajaan negeri pada Rabu ini bagi menangani risiko kejadian tidak diingini dan kemalangan jiwa ekoran bencana alam tersebut.

“Kita akan tengok secara menyeluruh…bukan sahaja di Kemaman tapi juga di tempat-tempat lain.

“Fenomena kepala air ini memang kalau siapa yang biasa pergi jeram-jeram memang ada tulis awasi cuaca, fenomena kepala air berlaku di kawasan tersebut.

“Kita akan tengok balik keberkesanan notis-notis berkenaan dan mungkin tempat-tempat tertentu ini kita kena ada pengawasan lain pula. Jadi kita kena bincang tengok balik macam mana,” katanya semasa sidang akhbar di Kemaman hari ini, lapor Sinar Harian.

Semalam, 10 individu dengan sembilan daripadanya sekeluarga berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang datang berkelah di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih, kelmarin sebelum dihanyutkan arus deras kepala air.

Susulan itu, operasi hari kedua mencari dan menyelamat (SAR) lapan lagi mangsa yang masih hilang dalam kejadian kepala air di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih di Kemaman diperluaskan ke tiga zon melibatkan pencarian radius seluas 32 kilometer (KM) persegi.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, pihaknya juga akan mengadakan perbincangan dengan pelbagai agensi termasuk polis dan jabatan perhutanan untuk mencari jalan penyelesaian dalam mengurangkan risiko yang berlaku akibat fenomena kepala air.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri turut mengingatkan masyarakat agar menitik beratkan faktor keselamatan dan berwaspada dengan keadaan cuaca semasa sewaktu melakukan aktiviti riadah di kawasan jeram atau sungai.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *