IDENTITI tiga lagi mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih, Kemaman telah dikenal pasti petang ini.
Mereka ialah Putri Aryana Umaira Karim, 4, dan Putri Nurerina Natasya karim, 10, yang ditemui jam 12.05 tengah hari tadi, selain bapa Karim Abdullah, 39, ditemui jam 1.55 tengah hari.
Perkembangan ini menjadikan secara keseluruhan semua enam mayat yang ditemui sudah dikenal pasti, lapor Astro Awani.
Sebelum ini, polis sudah mengenal pasti identiti mayat Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, yang ditemui terapung oleh pasukan SAR kira-kira pukul 11.05 pagi tadi.
Malam tadi, polis mengesahkan identiti dua mayat yang ditemui pukul 12.30 tengah hari semalam, adalah dua beranak iaitu Azizah Eiyi, 40, dan Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11.
Sebelum ini, media melaporkan, kesemua mayat terbabit ditemui dalam sektor A dan B kawasan pencarian.
Sembilan beranak yang terbabit dalam kejadian itu ialah Karim dan Azizah; selain Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah Karim, 16; Putri Nor Fatin Karim, 14; Muhammad Zulqarnain Haikal; Putri Nurerina Natasya; Muhammad Haziq Ziqree dan Putri Aryana Umaira.
Seorang lagi adalah tunang kepada Putri Balqis Izzati iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24, yang berasal dari Batu Pahat.
Tengah hari semalam, mayat Azizah ditemukan terapung oleh orang ramai, dihanyutkan arus kira-kira 24 kilometer (km) dari tempat kejadian, manakala Muhammad Zulqarnain Haikal tersangkut pada dahan pokok kira-kira 2 km dari tempat kejadian.
Turut ditemui adalah adalah kereta jenis Proton Gen2 dan sebuah motosikal jenis SYM di tempat kejadian dipercayai milik mangsa terbabit.
Susulan penemuan dua mangsa itu, polis melancarkan operasi SAR untuk mengesan semua mangsa yang terlibat.
Polis difahamkan, semua mangsa datang ke kawasan hulu sungai untuk berkelah sebelum dilanda kepala air.
Leave a Reply