Tiada diskaun saman sepanjang saya jadi Ketua Polis KL, kata Shuhaily

PENGGUNA jalan raya yang disaman ekoran melakukan kesalahan lalu lintas di sekitar ibu negara tidak akan diberikan diskaun bayaran saman, itu ketegasan yang disuarakan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd Zain.

Beliau berkata, perkara itu perlu bagi tujuan mendidik pengguna jalan raya di ibu kota.

“Sepanjang saya menjadi Ketua Polis Kuala Lumpur, tidak akan ada sebarang diskaun atau pengurangan.

“Dalam mendidik, kita harus konsisten dalam apa yang kita nak laksanakan,” katanya selepas mengetuai Operasi Hormat Undang-undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur di sekitar ibu negara, pagi ini.

Walau bagaimanapun, Mohd. Shuhaily mengatakan apa jua keputusannya nanti, beliau akur, namun secara perbadi tiada diskaun akan diberikan.

Polis Kuala Lumpur hari ini menjayakan operasi itu yang bermula sejak Sabtu lalu sehingga 31 Julai ini yang melibatkan 16 kawasan di sekitar Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain. GAMBAR: Warta Rakyat

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSJPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh.

Menurut Mohd. Shuhaily, operasi itu adalah satu usaha bagi meningkatkan kesedaran dan mendidik pengguna jalan raya agar mematuhi undang-undang trafik.

“Saya tegaskan operasi ini dijalankan bagi meningkatkan kesedaran dan mendidik pengguna jalan raya supaya kita sama-sama memartabatkan Kuala Lumpur sebagai kota yang patuh undang-undang jalan raya.

“Jika kita dapat wujudkan satu contoh pemanduan yang baik, saya harap budaya ini dapat dipanjangkan ke negeri-negeri lain,” ujarnya.

Tambahnya, antara tiga kesalahan yang sering dilakukan oleh pengguna jalan raya adalah, melanggar lampu isyarat merah, membuat pusingan-U di kawasan tidak sepatutnya, dan memberhentikan kenderaan dalam petak kuning.

Anggota Polis trafik mengeluarkan saman terhadap pemandu yang melakukan kesalahan dengan berhenti di garisan melintas pejalan kaki dalam operasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya di persimpangan lampu isyarat, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

“Seperti yang berlaku tadi, seorang pengguna menekan hon kepada seorang lagi pengguna untuk terus jalan sedangkan lampu isyarat merah dengan alasan sebelum ini boleh berbuat demikian.

“Bagi sebilangan pengguna di Kuala Lumpur, lampu isyarat merah ibarat lampu hijau. Jadi itu apa yang kita mahu martabatkan kembali,” katanya lagi.

Mohd. Shuhaily menegaskan, bahawa operasi yang dijalankan pada waktu puncak pagi tadi bukan untuk menyusahkan pengguna jalan raya yang sedang berpusu ke tempat kerja masing-masing.

“Ini kali pertama pihak polis trafik Kuala Lumpur menjalankan operasi pada waktu puncak. Namun, pada saya kesalahan yang dilakukan pada waktu puncak adalah begitu kerap sekali.

Sebahagian daripada motosikal yang ditahan anggota polis selepas melakukan kesalahan dengan berhenti di garisan melintas pejalan kaki dalam operasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya di persimpangan lampu isyarat, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

“Kita juga faham dan tidak mahu menyusahkan orang ramai pada masa yang sama. Kita perlu korbankan sedikit demi mengembalikan martabat undang-undang kita,” ujarnya.

Menurut beliau, bagi memastikan kelancaran lalu lintas ketika operasi dijalankan pada waktu puncak, pihaknya menyediakan dua pasukan iaitu pasukan penguatkuasa dan pasukan mengawal lalu lintas.

Antara 16 kawasan itu ialah Jalan Tun Razak, Jalan Semarak, Jalan Ampang, Persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Sultan Ismail, Persimpangan Dang Wangi, Persimpangan Jalan Raja Laut, dan Persimpangan Jalan P. Ramlee.

Anggota Polis trafik mengeluarkan saman terhadap pemandu yang melakukan kesalahan dengan berhenti di garisan melintas pejalan kaki dalam operasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya di persimpangan lampu isyarat, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

Selain itu, Jalan Raja Chulan, Persimpangan Jalan Bukit Bintang, Jalan Imbi, Jalan Tun Tan Cheng Lock, Jalan Hang Tuan, Jalan Pudu , Jalan Yap Kuan Seng dan Jalan Dewan Bahasa.

Operasi itu berkonsepkan penguatkuasaan yang lebih tegas dan tersusun membabitkan tujuh jenis operasi iaitu Op Parkir Haram, Op Halangan, Op Lampu Merah, Op Nombor Pendaftaran, Op Cermin Gelap, Op Motosikal dan Op Didik.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *