PERSEPSI kedudukan ekonomi Malaysia dan prestasi ringgit pada masa ini adalah berkaitan dengan tahap keyakinan antarabangsa terhadap negara ini, demikian menurut Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC).
Firma penarafan tempatan itu menjelaskan, selain isu imbangan luaran yang lebih lemah, kemampanan hutang dan kekukuhan kewangan awam juga semakin rapuh.
Ia menjelaskan, semasa kemuncak pada 1990-an, Malaysia mempunyai lebihan fiskal tetapi kini dijangka mencatatkan defisit sekitar 5.0 peratus pada 2023.
“Defisit ini memberi kesan buruk kepada nisbah pembayaran hutang kepada pendapatan, yang menunjukkan arah aliran lebih tinggi sejak 2012 (iaitu) 9.4 peratus dan melepasi had yang ditetapkan sendiri sebanyak 15 peratus ketika kemuncak pandemik pada 2020 hingga 2021.
“Ini menunjukkan isu struktur, yang mana pendapatan hanya mencukupi untuk menampung perbelanjaan mengurus, melangkaui penggunaan hutang untuk membiayai perbelanjaan pembangunan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, MARC berkata, Akta Tanggungjawab Fiskal yang dicadangkan adalah sangat penting, dan diharapkan penangguhan pembentangan yang dirancang dari Jun 2023 ke akhir tahun ini adalah pelopor kepada pelan yang difikirkan dengan teliti dan bukannya petunjuk untuk menyelaraskan cabaran.
Ia berkata, mengekalkan pematuhan kepada pelbagai langkah hutang seperti had hutang dan nisbah khidmat hutang untuk jangka panjang dan konsisten akan menjadi modal pilihan oleh pelabur antarabangsa.
“Membina penampan ekonomi melangkaui kecukupan asas adalah penting, kerana ketidaktentuan global boleh mengundang pelbagai risiko. Apa yang memadai pada satu ketika dahulu boleh bertukar menjadi tidak mencukupi,” katanya lapor Berita Harian.
MARC menjelaskan, penurunan mendadak ringgit sudah mencapai paras terendah yang belum pernah berlaku sebelum ini berdasarkan Kadar Pertukaran Efektif Benar (REER) mengikut data Bank of International Settlements (BIS).
REER ialah ukuran nilai kadar pertukaran yang ditimbang oleh perdagangan dan diselaraskan untuk inflasi.
Tambahnya lagi, situasi berkenaan memberi gambaran bahawa eksport Malaysia kini lebih murah berbanding negara lain dan paras sejarah.
“Namun, dari sudut lain ia menjelaskan, situasi itu membayangkan bahawa import semakin mahal, menjejaskan perniagaan dan pengguna.
“Justeru, walaupun ringgit yang lebih lemah dikatakan sebagai penstabil automatik kerana ia secara teorinya meningkatkan nilai eksport, namun ia memburukkan lagi inflasi import di tengah-tengah inflasi didorong secara ketara oleh tekanan tolakan kos dan menjejaskan kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya.
MARC selanjutnya memberikan amaran bahawa jika sesebuah negara bergantung kepada kadar pertukaran yang lebih lemah dalam jangka panjang, ia kemudiannya hanya akan mengejar ‘perlumbaan’ ke bawah.
“Ini bukan saja bercanggah dengan konsep asas untuk melonjakkan negara dalam rantaian nilai tetapi sebaliknya menjerumuskan negara kepada kemunduran,” katanya.
MARC berkata, idea bahawa susut nilai tukaran wang memberi manfaat kepada sesebuah negara bukanlah holistik, sebaliknya hanya mampu memberikan rangsangan terhad kepada imbangan akaun semasa.
Ia berkata, nisbah imbangan akaun semasa Malaysia kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) merosot dari semasa ke semasa daripada 15.9 peratus pada akhir 1999 kepada 1.0 peratus pada suku pertama 2023.
“Ini membuktikan bahawa murah tidak bermakna baik, terutamanya dalam jangka panjang,” katanya.
MARC berkata, rakan perdagangan dan pelabur pasaran modal Malaysia menjadi lebih sofistikated sehingga keputusan pelaburan mereka dibuat dengan mengambil kira pengoptimuman nilai dan bukan saja penjimatan kos.
Ia berkata, naratif yang biasa diutarakan ialah Malaysia menjadi mangsa keadaan disebabkan kadar faedah yang lebih tinggi di Amerika Syarikat (AS), namun semua negara menghadapi cabaran yang sama.
“Setakat minggu akhir Jun, prestasi ringgit adalah kedua terburuk di Asia selepas yen,” katanya.
Leave a Reply