PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dua agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang disiasat berhubung dengan dakwaan amalan rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan pegawainya.
“Dua agensi itu ialah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Sewaktu lawatan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Terminal 1 KLIA) semalam mendapati masih ada kelompok kecil pegawai imigresen yang terbiasa dengan amalan dan sistem lama.
“Saya pergi dan merumuskan untuk mempertahankan integriti imigresen serta masih menekankan supaya tindakan segera dan keras diambil terhadap beberapa kelompok kecil yang selesa dengan cara lama,” katanya menerusi ucapan semasa Perhimpunan Bulanan warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata, situasi sama berlaku di JPN apabila terdapat segelintir pegawai yang meminta bayaran untuk mengeluarkan sijil kewarganegaraan.
“Semalam saya terima maklumat JPN disiasat.
“Kita memudahkan kepada orang yang layak mendapat kewarganegaraan dan sebagainya.
“Untuk mendapatkan sijil itu, lagi dikenakan bayaran,” katanya.
Anwar berkata, meskipun kelompok itu kecil namun tindakan segera dan tegas perlu diambil kerana ia merosakkan imej jabatan, penjawat awam dan pentadbiran.
“Kalau kita sebut, kerana nila setitik rosak susu sebelanga.
“Harus ada tindakan tegas dan keras, kalau tidak, ia akan merosakkan imej pentadbiran yang dikatakan mampu berbicara tetapi tidak mampu mengamalkan,” katanya, lapor Sinar Harian.
Dalam pada itu, Anwar kesal apabila hanya satu daripada tujuh mesin pengimbas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) di Terminal 1 yang berfungsi.
Ujarnya, masalah itu berlarutan bertahun lamanya dan tidak diatasi.
“Kebetulan saya Menteri Kewangan dan Kastam di bawah tanggungjawab saya tetapi tak akan hendak tunggu menteri turun baru tahu yang mana rosak,” soalnya.
Tegas beliau, kelemahan penyampaian maklumat di peringkat bawahan kepada pihak atasan juga perlu diperbaiki.
“Hal-hal sebegini adakah (perlu) pegawai di situ dipersalah? Mungkin dia lapor tetapi kelemahan ini perlu diperbaiki untuk perkhidmatan yang baik,” katanya.
Jelas Anwar, kelulusan segera boleh dibuat sekiranya kos mesin pengimbas tersebut sekitar berapa juta ringgit.
“Saya percaya Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat semata-mata kerana saya memberi kelulusan segera.
“Keadaan itu mendesak. Mesin pengimbas rosak. Bayangkan tujuh buah sudah lama rosak sejak beberapa tahun lalu,” katanya.
Terdahulu dalam lawatan mengejut beliau ke Terminal 1, Anwar merumuskan urusan dan pengoperasian imigresen dan kastam adalah terkawal serta menyatakan beberapa permasalahan yang ada akan disusuli dengan siasatan bagi penambahbaikan dan tindakan sewajarnya.
Leave a Reply