JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) meletakkan seramai 4,169 anggotanya di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu dan Kelantan dalam keadaan bersiap siaga bagi berdepan sebarang kemungkinan ekoran fenomena angin baratan yang mula melanda negara sejak beberapa hari lalu.
Selain itu, Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Datuk Ahmad Izram Osman berkata, kelengkapan serta kemudahan logistik bagi kerja-kerja penyelamatan juga kini berada dalam keadaan siap siaga sekiranya berlaku sebarang kejadian di luar dugaan ekoran fenomena terbabit.
Beliau berkata, antara kelengkapan dan kemudahan logistik yang akan digunakan termasuk ‘fire rescue tender’, utiliti, pengangkutan udara yang berkaitan serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
Selain itu, jelas beliau, pihaknya dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) turut melakukan pemantauan bagi berdepan risiko kejadian banjir kilat, tanah runtuh, pokok tumbang dan sebagainya.
“Kita juga bekerjasama dengan beberapa agensi dan jabatan lain seperti MetMalaysia (Jabatan Metereologi Malaysia) untuk mendapatkan data yang berkaitan selain turut bersedia sekiranya operasi ini bersambung-sambung daripada angin baratan kepada monsun timur laut,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat bersama Penolong Pengarah Operasi JBPM seluruh negara di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.
MetMalaysia sebelum ini memaklumkan negeri-negeri di utara Semenanjung termasuk kawasan perairan negeri tersebut dijangka mengalami angin baratan yang bertiup kencang dari 1 hingga 5 Julai ini.
Situasi itu berpotensi menyebabkan berlakunya ribut petir dan hujan lebat beserta angin kencang di negeri-negeri berkenaan selain Kelantan dan Terengganu yang dijangka turut terkesan akibat fenomena sama.
Sementara itu, Ahmad Izram berkata, pihaknya turut melakukan rondaan secara kerap di sekitar kawasan pantai di utara Semenanjung serta Kelantan dan Terengganu susulan fenomena angin baratan tersebut.
“Kita juga menasihatkan orang ramai khususnya mereka yang tinggal di negeri-negeri utara serta penduduk di Terengganu dan Kelantan supaya mengelak melakukan aktiviti riadah serta aktiviti berkaitan air dengan tidak mengunjungi kawasan pesisir pantai buat masa ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, pihaknya memulakan kerja-kerja pemeriksaan di semua lokasi pusat mengundi dan penjumlahan undi di keenam-enam negeri yang terlibat dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Katanya, ia bertujuan memastikan proses pengundian dan penjumlahan undi di kesemua lokasi yang berkenaan berlangsung tanpa sebarang masalah atau insiden yang tidak diingini pada hari tersebut.
“Kita titikberatkan dari segi akses, laluan ke tempat berkenaan (pusat mengundi dan penjumlahan undi) serta pili bomba dan kawasan berhimpun (sekiranya berlaku kebakaran) dan sebagainya.
“Selain itu, sebagai langkah tambahan, (anggota dari) balai bomba yang terdekat akan berada dalam keadaan ‘standby’ (berjaga-jaga) terutamanya di pusat penjumlahan undi iaitu dari petang hingga ke malam bagi memastikan semuanya berjalan lancar,” katanya.
Leave a Reply