PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mengakui berdepan masalah untuk memenangi undi daripada rakyat berumur lingkungan 40 hingga 55 tahun.
Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, bagaimanapun MUDA mempunyai kelebihan menerusi sokongan dalam kalangan pengundi lebih muda dan lebih tua daripada umur tersebut.
“Ini sekali gus membuktikan politik khidmat dan dasar yang dibawa MUDA bukan berdasarkan umur semata-mata.
“Kita akui kita ada sedikit masalah dalam memenangi undi dalam lingkungan umur 40 hingga 55 tahun… Tapi yang sangat muda sangat sokong, sangat tua juga menyokong.
“Kalau kita lihat kerusi (Parlimen) Muar, (DUN) Puteri Wangsa, peratusan sokongan MUDA ini bukan sahaja datang daripada anak muda. Apa yang mengejutkan adalah peratusan sokongan dalam kalangan orang tua atas 60 tahun.
“Mengapa? Kerana politik yang MUDA ketengahkan bukan politik berdasarkan umur semata-mata. MUDA itu sendiri adalah tentang politik baharu yang segar.
“Politik berpaksikan khidmat dan dasar…dan apabila mereka lihat kita bicarakan isu-isu dasar, solusi kepada masalah rakyat, ia merentasi faktor umur, bangsa dan agama,” katanya menerusi hantaran video di Facebook.
Katanya, MUDA mahu memberi fokus dalam meningkatkan imej Malaysia sebagai negara majoriti Islam yang lebih maju dan diiktiraf seantero dunia, khususnya menjadi yang terunggul di Asia Tenggara.
MUDA juga ujarnya, mahu berikan lonjakan paradigma supaya Malaysia menjadi negara yang maju, membangun di mana semua rakyatnya tidak kira umur bangsa dan agama melihat negara ini sebagai ‘rumah mereka’.
“Mereka ada pendapatan yang baik, pekerjaan yang baik, ada sistem pengangkutan yang baik, isu perubahan iklim dapat ditangani dengan baik,” ujar Ahli Parlimen Muar itu, lapor Sinar Harian.
Semalam, media melaporkan pandangan penganalisis politik yang menyifatkan semangat dimiliki MUDA untuk bertanding secara solo pada pilihan raya negeri (PRN) di semua enam negeri terlibat tidak mencukupi untuk mencapai kemenangan.
Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata, keberadaan MUDA bukan sebagai blok ketiga sebaliknya hanya ‘penambah perisa’ dan tidak akan membawa impak besar yang mencipta kejutan.
Katanya, komitmen MUDA yang mahu membawa budaya politik baharu dan menolak budaya politik tua tidak akan menjadi ‘faktor X’ menggamit perhatian pengundi PRN untuk memihak kepada mereka.
Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr. Kartini Aboo Talib@Khalid turut mengakui, penampilan MUDA dalam PRN enam negeri tidak cukup kuat untuk menjadi blok ketiga yang mampu menggugat PH atau PN.
Katanya, MUDA tidak memiliki kekuatan diperlukan bagi menjadi blok ketiga, tambahan pula parti terbabit tidak berada dalam mana-mana permuafakatan politik.
Leave a Reply