SETIAUSAHA akhbar beberapa menteri mengadu belum dibayar gaji, walaupun mereka bertugas sejak beberapa bulan lalu sejak kerajaan perpaduan mula berkuasa.
Sesetengah daripadanya mendakwa, mereka langsung tidak dimaklumkan mengenai kelewatan pembayaran itu.
Tiga setiausaha akhbar yang enggan dinamakan memberitahu FMT, mereka tidak dapat meneruskan tugas tanpa gaji dan mungkin akan berhenti.
Seorang daripadanya berkata, dia teringin ke bidang korporat yang menawarkan gaji lebih tinggi, tetapi tidak mahu meninggalkan menteri separuh jalan.
Seorang lagi yang telah berkhidmat selama enam bulan berkata, ada pembantu yang tidak dibayar sesen pun tahun ini.
“Saya hanya mendapat elaun apabila melakukan perjalanan ke luar. Jika tidak, saya hidup dengan wang simpanan yang saya rasa hanya mampu bertahan sehingga akhir tahun. Saya sangat seronok bekerja di kementerian, tetapi saya tidak fikir boleh bertahan sehingga Disember jika tiada gaji.”
Pembantu itu berkata, setiausaha akhbar dimaklumkan kelewatan pembayaran gaji itu disebabkan Perdana Menteri belum menandatangani surat pelantikan mereka.
Pegawai kementerian menunjukkan kertas kerja untuk membuktikan mereka berusaha mendapatkan pembayaran gaji dan hanya menunggu Datuk Seri Anwar Ibrahim menandatangani surat itu.
“Saya tidak tahu kenapa berlaku kelewatan. Saya pun tidak tahu berapa banyak yang akan saya terima,” kata sumber itu sambil menambah menteri pun tidak tahu berapa banyak gaji mereka.
Seorang lagi setiausaha akhbar berkata, mereka sudah menulis surat kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui setiausaha sulit kanan menteri, tetapi belum mendapat maklum balas.
FMT sedang mendapatkan komen Pejabat Perdana Menteri dan JPA.
Menurut sumber itu, masalah tidak dibayar gaji bukan saja memberi kesan kepada setiausaha akhbar, malah pegawai lain di beberapa kementerian.
Seorang lagi setiausaha akhbar berkata, mereka tidak dibayar gaji dan elaun khas sejak tahun lalu dan hanya menerima elaun perjalanan.
Masalah pegawai kerajaan tidak dibayar gaji pernah diketengahkan pada 2018 apabila Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ada pegawai tidak dibayar gaji selama empat bulan.
Leave a Reply