Komen tiada adab, kata Tuan Ibrahim

TINDAKAN seorang pengguna Twitter yang memuat naik doa mengharapkan kematian Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dianggap sebagai tidak beradab dan mempunyai akhlak Islam yang baik.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, meskipun terdapat perbezaan pandangan daripada segi politik namun isu berkaitan sakit dan kematian tidak sepatutnya dijadikan alat untuk menunjukkan kebencian.

Tegasnya, individu terbabit perlu mendalami akhlak Islam dan memahami bahawa sakit akan dialami oleh setiap manusia.

“Perkara ini tidak boleh dibuat bahan, orang bukan Islam pun kutuk tindakan dia kerana tidak mencerminkan akhlak yang baik,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Tambah Tuan Ibrahim, jika seseorang tidak mampu mengawal emosi dan tindakan hingga sanggup mendoakan keburukan kepada orang lain maka dia tidak layak untuk menjadi pemimpin politik.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Abdul Hadi dibenarkan keluar hospital, hari ini dan telah pulang ke kediamannya.

Pada Sabtu, tular ciapan dibuat pengguna Twitter tersebut yang didakwa pembantu kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *