DUA jemaah haji Malaysia yang koma, meninggal dunia di hospital Arab Saudi Jumaat lalu.
Ini menjadikan empat jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Makkah tahun ini, selepas dua jemaah wanita menghembuskan nafas terakhir pada 4 dan 19 Jun lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Na’im Mokhtar berkata, kematian ketiga membabitkan jemaah lelaki berusia 72 tahun akibat jangkitan kuman pada paru-paru, manakala seorang jemaah lelaki berumur 60 tahun meninggal dunia akibat serangan strok dan kegagalan jantung.
“Kedua-dua jemaah Malaysia itu antara tiga pesakit yang tidak dibawa ke Arafah untuk berwukuf Selasa lalu kerana dalam keadaan koma di hospital Arab Saudi.
“Saya dan pengurusan kanan Lembaga Tabung Haji (TH) mengucapkan takziah kepada waris mangsa,” katanya menurut Berita Harian dalam sidang media di Ibu Pejabat TH di Makkah.
Na’im berkata, 95 jemaah negara masih dirawat di Pusat Rawatan TH Makkah dan 15 lagi di hospital Arab Saudi setakat ini.
Dalam perkembangan lain, katanya, seramai 31,600 jemaah Malaysia selesai menunaikan ibadah Rukun Islam kelima tahun ini.
Mereka tidak termasuk dua jemaah yang meninggal dunia dan tiga lagi koma sebelum berwukuf.
Beliau berkata, 13,219 jemaah melakukan Nafar Awal kelmarin dan 18,381 lagi melaksanakan Nafar Thani semalam.
Katanya, jemaah haji Malaysia akan berangkat pulang mulai Rabu ini dan penerbangan terakhir pada 31 Julai ini, membabitkan 98 penerbangan.
Leave a Reply