Doa ‘ambil nyawa’ Hadi: Anwar mahu Zaki minta maaf segera

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan seorang pengguna media sosial yang dianggap dekat dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) agar segera memohon maaf kerana bersikap biadab ke atas Tan Sri Abdul Hadi Awang.

“Individu terbabit perlu memohon maaf segera atas keterlanjurannya kepada presiden Pas berkenaan.

“Saya membantah dan kesal dengan ciapan biadab Zaki Yamani dan mengarahkan beliau untuk memohon maaf dengan kadar segera,” tegas Anwar dalam ciapannya di Twitter.

Terdahulu, pengguna Twitter berkenaan menciap sesuatu yang dianggap melampau.

Ia berikutan laporan mengenai keadaan kesihatan Abdul Hadi yang dikatakan merosot dan sedang diberikan rawatan oleh pihak hospital.

Selain Abdul Hadi, Zaki juga mengaitkan doanya itu dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Doa: Ya Allah! Ambillah nyawa Abdul Hadi Awang. Hentikan kerosakan yang dilakukannya di muka bumi. Hentikan fitnah yang dibawanya terhadap agama-Mu. P/S: Ambil sekali Mahathir,” ciapnya.

Keadaan kesihatan bekas duta khas bertaraf menteri itu dimaklumkan sendiri oleh anaknya Muhammad Khalil Abdul Hadi, menerusi catatan di Facebook pagi semalam.

Menurut Muhammad Khalil, Abdul Hadi telah berada dalam keadaan uzur ketika majlis pelancaran jentera pilihan raya Pemuda Pas Terengganu pada 27 Jun lalu.

Bagaimanapun katanya, Abdul Hadi tetap menggagahkan diri untuk hadir program berkenaan.

Sementara itu, Bernama melaporkan Muhammad Khalil ketika dihubungi mengesahkan berada dalam keadaan stabil.

Kali terakhir Abdul Hadi dilaporkan dimasukkan ke hospital ialah pada Februari tahun lalu apabila mengalami sesak nafas, sebelum dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan lanjut.

Senada dengan Anwar, Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali pula meminta pengguna Twitter terbabit agar segera bertaubat.

“Sesiapa yang mendoakan kematian seseorang yang sedang sakit kerana berbeza parti politik perlu bertaubat memohon ampun kepada Allah SWT dan juga perlu meminta maaf kepada empunya diri dan ahli keluarganya.

“Politik kepartian tidak mewajarkan terputusnya persaudaraan Islam yang diwajibkan oleh Allah SWT untuk dipelihara,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Khairuddin adalah tidak wajar untuk seseorang mendoakan keburukan dan kematian orang lain hanya kerana perbezaan politik kepartian.

“Janganlah mendoakan keburukan ke atas seseorang yang berbeza pendirian dalam persaingan politik kepartian. Apatah lagi mendoakan kematian seseorang yang sedang sakit.

“Sekiranya kita berbeza pendirian politik kepartian sekalipun, doakan hidayah dan kebaikan untuk dirinya dunia dan akhirat,” katanya, lapor Malaysiakini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *