Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
PERBADANAN Taman Negara Johor (PTNJ) membuka semula Air Terjun Gunung Ledang di Tangkak kepada orang ramai mulai 8 Julai ini.
Menurut Pengarah PTNJ, Taufik Bahar, sempena pembukaan semula itu, PTNJ akan menganjurkan Karnival Gunung Ledang selama tiga hari bermula 8 hingga 10 Julai 2023.
“Pelbagai aktiviti dan pengisian menarik akan diadakan sepanjang karnival berlangsung terutama Karnival Tanah Daerah Tangkak.
“Ini termasuk pameran oleh agensi-agensi kerajaan dan swasta, ‘Fun Run, Fun Ride’, gerai jualan, pemeriksaan kesihatan, pertandingan karaoke, ‘motorbike show’, pertandingan mewarna serta apresiasi bahasa dan sastera.
“Bagi menghargai kesabaran dan penantian semua pihak, PTNJ bersetuju untuk membenarkan orang awam masuk secara percuma dan tiada bayaran masuk serta tiket parkir kenderaan dikenakan sepanjang tempoh tiga hari karnival ini berlangsung.
“Justeru, orang ramai khususnya rakyat Johor dijemput untuk datang beramai-ramai bagi memeriahkan karnival berkenaan dan mengunjungi Air Terjun Gunung Ledang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelas beliau, penutupan sementara lokasi tersebut kepada orang awam sejak setahun lalu bagi membaik pulih dan menaik taraf kemudahan awam demi keselesaan pengunjung.
Katanya, pembukaan semula Air Terjun Gunung Ledang kepada orang ramai juga adalah usaha untuk membawa limpahan ekonomi kepada para peniaga tempatan dan masyarakat sekitar.
“Bagi memastikan keselamatan terkawal dan tahap kebersihan terjaga, jumlah kemasukan ke kawasan air terjun dihadkan kepada seramai 2,000 pengunjung pada satu-satu masa,” katanya.
Para pengunjung turut disarankan membawa beg plastik sampah atau boleh membelinya daripada pihak PTNJ demi menjaga kebersihan persekitaran.
Resort untuk penginapan masih belum beroperasi dan kehadiran pelawat hanya melibatkan kemasukan harian.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi PTNJ menerusi talian 069772254 (pejabat) 013-7440953 atau 013-7440961.
Leave a Reply