GARA-GARA tersesat jalan untuk pulang ke rumah, seorang warga emas nekad memandu secara melawan arus untuk membuat pusingan U dari Plaza Tol Sungai Dua sehingga ke Kilometer 126.3, Lebuh Raya Utara-Selatan, arah Selatan di Butterworth, Pulau Pinang, pada Rabu.
Ekoran itu, warga emas berusia 80 tahun berkenaan ditahan selepas pasukan Peronda Lebuh Raya Zon Utara, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menerima maklumat daripada orang awam kira-kira pukul 7.43 pagi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, warga emas itu ditahan di lokasi aduan setelah memberhentikan kereta jenis Proton Persona sebelum dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (IPD SPU) untuk tindakan lanjut.
Jelasnya, hasil siasatan awal mendapati, pemandu kereta tersebut yang dari rumahnya di Sungai Petani, Kedah mahu ke kedai makan berhampiran dengan tempat tinggalnya.
“Bagaimanapun, pemandu tersebut telah tersesat jalan dan masuk ke Lebuh Raya Utara- Selatan serta tidak menjumpai laluan keluar untuk membuat pusingan U di tol berhampiran.
“Dia kemudian mengambil tindakan untuk memandu secara lawan arus. Pemandu tersebut juga dipercayai menunjukkan petanda lupa ingatan sejak kebelakangan ini yang dimaklumkan oleh pihak keluarga,” katanya kepada pemberita hari ini.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan tindakan saman juga dikeluarkan terhadap pemandu warga emas terbabit berikutan lesen memandunya tamat tempoh.
Kelmarin, tular video yang memaparkan seorang warga emas memandu kereta secara lawan arus di laluan kanan lebuh raya dalam media sosial termasuk di Facebook.
Leave a Reply