Kesatuan Imigresen sifatkan kenyataan King Sing hanya mahu alih isu

KESATUAN Perkhidmatan imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) menyifatkan kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing yang  mendakwa berlaku budaya rasuah di pintu masuk negara bertujuan mengalih tumpuan, bagi mengaburi tindakannya mengganggu tugas penjawat awam.

Presidennya Khairul Niza Khairuddin berkata, bukan sahaja dakwaan dibuat “tidak berasas”, malah sebagai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, King Sing tidak sepatutnya mengganggu tugas penjawat awam.

Presidennya, Khairil Niza Khairuddin, yakin pegawai imigresen bertugas mengetahui lebih jelas berhubung “situasi sebenar” yang berlaku.

Katanya, jika benar dakwaan bahawa pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terbabit dengan rasuah, ia perlu dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Ianya bukan dengan membuat kenyataan media yang boleh dianggap tidak berasas kerana tiada bukti serta hanya bertujuan sebagai ‘diversion’ atau mengalihkan tumpuan dari isu utama. Sebagai seorang orang kenamaan, beliau seharusnya lebih menghormati undang-undang negara dan tidak mengganggu penjawat awam menjalankan tugas mereka.

“Dalam hal ini, pegawai JIM yang bertugas ketika itu sudah semestinya mengetahui dengan lebih jelas mengenai apa yang berlaku dan mengambil tindakan berdasarkan peraturan semasa yang sedang berkuatkuasa,” katanya lapor Harian Metro.

Beliau berkata, KPISM bertegas tiada mana-mana pihak seharusnya terbabit dan mengganggu tugas penguatkuasaan dan pelaksanaan undang-undang oleh imigresen dan mana-mana pihak berkuasa di negara ini.

“KPISM tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis jika perkara sama seperti ini berlaku. Kita juga bersetuju dengan tindakan pihak imigresen yang mengambil tindakan serta merta memulakan siasatan berkenaan isu berkenaan,” katanya.

Semalam, Tiong berkata “peristiwa yang memalukan negara” telah terbongkar, susulan laporan mengenai kekecohan di KLIA membabitkan warga China ditahan di balai ketibaan.

Beliau mendakwa wujudnya budaya rasuah dilakukan segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang “kronik” di pintu masuk negara.

Katanya, semua maklumat berkaitan akan diserahkan kepada SPRM.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *