Imigresen buat siasatan serta-merta kekecohan libat menteri di KLIA

JABATAN Imigresen Malaysia telah memulakan siasatan serta-merta berhubung insiden seorang menteri didakwa melakukan kekecohan supaya seorang pelawat dari China dibebaskan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh menegaskan, siasatan akan dijalankan secara menyeluruh merangkumi semua aspek berkaitan.

Sehubungan itu, Ruslin meminta orang ramai supaya memberi ruang agar siasatan dapat dijalankan dengan telus.

Pada masa sama, beliau juga memohon orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau provokasi yang boleh mengganggu siasatan.

“Jabatan ini telah mengambil tindakan serta-merta memulakan siasatan ke atas dakwaan kejadian yang dilaporkan. Siasatan akan dijalankan secara menyeluruh merangkumi semua aspek yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, seorang menteri didakwa telah melakukan ‘kekecohan’ di KLIA kerana mahu ‘menyelamatkan’ seorang pelawat China yang ditahan daripada masuk ke Malaysia.

Menurut laporan Bebas News yang memetik sumber, menteri berkenaan dikatakan telah menceroboh masuk ke dewan ketibaan antarabangsa tanpa memohon pas keselamatan.

Menteri berkenaan kemudiannya menggunakan kuasanya dan memarahi Polis Bantuan KLIA serta pegawai Imigresen apabila tindakannya mahu ‘membebaskan’ pelawat warga China itu dihalang.

Difahamkan, ini adalah kali ketiga menteri tersebut melakukan tindakan sedemikian membabitkan pelawat yang ditahan daripada memasuki negara.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *