Cuepacs desak kerajaan siasat isu menteri buat kecoh di KLIA

KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mendesak pihak berkuasa dan kerajaan melakukan siasatan terperinci berkenaan isu tular seorang menteri yang didakwa membuat ‘kecoh’ serta menceroboh dewan ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, Cuepacs kesal sekiranya perkara itu benar-benar berlaku seperti yang didakwa kerana ia melibatkan pelanggaran protokol keselamatan negara serta mengganggu tugas penjawat awam.

“Sebagai individu yang bertaraf menteri, adalah tidak wajar perkara tersebut dilakukan. Semua pihak termasuk pemimpin negara sewajarnya memberi kepercayaan penuh kepada pihak berkuasa yang melaksanakan tugas. Tidak wajar kelakuan menceroboh itu dilakukan kerana ia jelas melanggar prosedur operasi standard (SOP) keselamatan yang telah ditetapkan,” katanya kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

Sebelum ini media melaporkan suasana di balai ketibaan KLIA pada Khamis kecoh apabila seorang individu dipercayai menteri cuba membebaskan seorang pelawat China yang ditahan Jabatan Imigresen pada Khamis.

Menurut sumber, pelawat warga China itu ditahan oleh pihak berkuasa sebaik sahaja tiba masuk ke negara ini.

Tindakan menteri itu didakwa dilakukan hanya kerana mahu menyelamatkan pelancong asing yang ditahan ketika mahu memasuki negara.

Adnan menegaskan, sekiranya berlaku salah faham dalam proses penahanan pelancong terbabit, menteri berkenaan boleh memberikan bantuan mengikut prosedur atau mendapatkan maklumat lebih jelas dahulu daripada pihak berkuasa di lapangan terbang.

Justeru, katanya, Cuepacs berharap satu siasatan penuh dilakukan oleh pihak berkuasa dan kerajaan dalam memastikan tindakan sama tidak berulang pada masa akan datang.

“Tiada individu yang lebih besar daripada undang-undang negara dan jika berlakunya pelanggaran undang-undang dalam hal ini, tindakan tegas wajar diambil oleh kerajaan bagi menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang. Cuepacs tidak mahu tugas yang dilaksanakan oleh penjawat awam bagi menjaga kedaulatan negara diganggu hanya kerana kepentingan peribadi pihak tertentu. Setiap tindakan yang dilakukan oleh penjawat awam sudah pasti berlandaskan undang-undang sedia ada,” ujarnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *