ADALAH sesuatu menghairankan apabila menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di 6 negeri tidak lama lagi, bertubi-tubi peringatan dikeluarkan oleh pemimpin parti kerajaan berhubung penggunaaan isu 3 R iaitu kaum, agama dan raja. Mereka mengingatkan parti-parti politik tidak menjadikan tiga isu itu sebagai modal atau bahan kempen dalam PRN.
Bukanlah rahsia lagi, sasaran ditujukan kepada Bersatu dan Pas – dua buah parti yang mendapat sokongan padu orang Melayu dałam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.
Penulis masih tertanya-tanya kenapakah perkara itu ditimbulkan sedangkan kedua-dua parti itu tidak pernah mencetuskan atau membangkitkan isu tersebut sehingga mewujudkan ketidaktenteraman dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.Apakah bercakap soal memajukan orang Melayu dan memperkasakan kuasa politik orang Melayu tanpa ‘menyerang’ atau menggugat kedudukan kaum lain dianggap perkauman?
Kenapakah soal memperjuangkan kepentingan dan kedudukan orang Melayu kini sudah menjadi sesuatu yang janggal atau sesuatu yang tidak sesuai lagi hanya kerana kini Malaysia dipimpin oleh kerajaan campuran?
Setakat ini tidak ada bukti yang menunjukkan Bersatu dan Pas cuba menjadikan isu perkauman sebagai modal, sebaliknya hanya memperjuangkan apa yang selama ini mereka lakukan, bukan sahaja soal Melayu tetapi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.
Tidak pernahpun pemimpin kedua-dua parti itu membuat kenyataan yang dilihat boleh mencetuskan perbalahan antara kaum. Hujah yang mereka ketengahkan masih lagi dałam rangka dibenarkan undang-undang.
Hakikatnya, tidak ada salahnya kalau parti-parti Melayu bercakap soal memperjuangkan kepentingan orang Melayu asalkan ia tidak mengganggu kaum lain. Begitulah juga bagi parti lain yang mahu memperjuangkan kaum masing-masing.
Pemimpin Bersatu dan Pas bukannya bodoh atau jahil untuk menggunakan modal perkauman untuk meraih undi. Dan pada masa sama janganlah menganggap seolah-olah pengundi Melayu dan orang tidak bijak menilai sama ada sesuatu isu yang diketengahkan bermotif perkauman atau tidak.
Penulis bersetuju isu 3R tidak harus dijadikan modal politik sehingga membangkitkan kemarahan antara kaum tetapi kalau ia menyentuh perkara yang betul demi kepentingan sesuatu kaum dan kesejahteraan rakyat negara ini apa salahnya?
Sebenarnya, bagi penulis isu 3R dan tuduhan bahawa Bersatu serta Pas cuba menggunakan isu perkauman bagi meraih sokongan hanya taktikal kelompok yang sudah muflis modal politik bagi meraihkan sokongan orang Melayu.
Sama ada diakui atau tidak dengan apa yang berlaku ketika PRU-15 yang menyaksikan sokongan majoriti orang Melayu dan anak muda menyebelahi Perikatan Nasional (PN) dianggotai Bersatu, Pas dan Gerakan, ada kebimbangan ketara dalam sesetengah pihak situasi itu akan berulang dalam PRN di 6 negeri.
Ia memandangkan Kerajaan Perpaduan memerlukan sokongan pengundi Melayu dalam peratusan lebih besar. Dengan adanya UMNO dalam kerajaan, mereka berharap ia sedikit sebanyak boleh membantu misi tersebut. Maklumlah UMNO tidak lagi dilihat beria-ia memperjuangkan kepentingan Melayu, walaupun kononnya ada 3.4 juta ahli yang 99 peratus adalah orang Melayu.
Sebaliknya UMNO kini harus mengikut rentak politik PKR dan DAP memperkasakan masyarakat majmuk. Adakah itu salah? Sudah tentu tidak! Itu pilihan UMNO biarpun sekadar menjadi ‘penumpang’ dalam kerajaan.
Hak UMNO juga untuk bergabung bersama dengan DAP yang dianggap sesetengah ahli UMNO ‘sudah kurang cauvinisnya’. Tetapi janganlah bila ada parti Melayu lain seperti Bersatu dan Pas istiqamah dalam perjuangan mereka memperjuangkan kepentingan Melayu, mereka dituduh mahu mengapi-api sentimen agama dan perkauman.
Janganlah bimbang, pemimpin Bersatu dan Pas tahu batas undang-undang dan peruntukan Perlembagaan apabila bercakap soal kaum, agama dan raja-raja. Dan paling penting sama ada apa yang mereka perkatakan untuk perkauman atau tidak biarlah pengundi tentukan khususnya pengundi Melayu di enam negeri.
Insha-Allah kedua-dua parti itu tidak akan menjadikan isu perkauman modal politik, sebaliknya apa yang berlaku kenyataan mereka dipolitikkan oleh kelompok yang takut bayang-bayang sendiri.Itu saja. Cuma jangan sampai dok sibuk guna modal basi untuk memburuk-burukkan Bersatu dan Pas, apa yang pegang terlepas daripada genggaman. Kenapa? Sama-sama kita tunggu keputusan PRN nanti?
Leave a Reply