PRESIDEN Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang membidas tindakan sesetengah pihak di negara ini yang menggunakan pelbagai saluran media mencari dan memaparkan segala kelemahan kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pas.
Sambil menyifatkan ia perbuatan yang dilakukan secara tidak bermaruah dan tidak ada rasa malu, beliau menganggap ia sebagai satu perbuatan yang lebih dahsyat daripada binatang yang tidak berakal, kerana binatang pun memilih buah yang baik-baik untuk dimakan.
‘’Adapun mereka sengaja mencari isu-isu buruk yang berlaku akibat kezaliman hasil sekatan terhadap negeri tanpa menghormati prinsip demokrasi yang menjadi pilihan rakyat dan konsep federalisme mengikut Perlembagaan Persekutuan.
‘’ Termasuklah segala perjanjian yang telah dimeteraikan seperti dinafikan royalti, atau dibatalkan projek yang telah diberikan, dilambatkan peruntukan kerana jenama Islam yang ada pada Pas. Tindakan yang tidak dilakukan terhadap negeri yang tidak berjenama Pas walaupun mereka juga pembangkang,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam ruangan Minda Presiden bertajuk Gelombang Hijau Bertujuan Islamofobia’ dalam Facebook.
Abdul Hadi turut menegaskan, ada juga yang mendedahkan sikap mereka yang buta al-Quran apabila mempertikaikan tindakan politik Pas yang sentiasa berubah-ubah, sekali gus menandakan kejahilannya terhadap pembahagian ajaran Islam kepada perkara thawabit (dasar dan nas yang tetap tidak berubah) seperti halal dan haram serta perkara mutaghayyirat (situasi dan realiti yang mengalami perubahan) yang diizinkan ijtihad.
‘’Terlalu banyak contoh daripada al-Quran dan Sirah Nabawiah yang meletakkan Islam mampu mentadbir sepanjang zaman dan di semua tempat, walaupun berbeza keadaannya. Suatu konsep yang tidak terdapat pada agama dan ideologi yang lain. Kini terlalu banyak kegagalannya, maka jangan pula Islam yang disalahkan,’’tegasnya.
Beliau menegaskan, Islam membuktikan kemampuannya dalam menghadapi kuasa besar dunia pada zaman silam dengan sikap yang berbeza, dan akhirnya semua kuasa besar itu berjaya dijatuhkan kerana zalimnya dan ditolak oleh rakyatnya sendiri.
‘’Sejarah mencatatkan bahawa Rom juga dijatuhkan kerana telah menceroboh negara Islam. Adakah sejarah ini menjadi sebab permusuhan mereka terhadap Islam sehingga mencipta Islamofobia? Disebabkan kebimbangan mereka jika Islam kembali berkuasa semula. Adakah kerana buta sejarah atau kejahilannya?,’’ soal beliau.
Sambil menghuraikan panjang sejarah Islam, Abdul Hadi turut mendedahkan Pas pernah beberapa kali berdialog dengan pemimpin besar DAP berkenaan Islam, namun mereka tetap mahu memaksa Pas agar tidak bercakap banyak berkenaan Islam bagi menjaga pengaruh DAP.
‘’Maka, tinggallah bersama DAP sebahagian golongan yang mendengar nasihat yang salah itu. Ada juga dalam kalangan pemimpin DAP yang menentang sikap DAP bertindak campur tangan dalam urusan agama Islam yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan sudah terdapat hak bagi penganut agama lain. Namun, mereka itu disingkirkan,’’katanya.
Beliau berkata, DAP campur tangan dalam urusan pengharaman arak di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, sedangkan ia dikuatkuasakan kepada penganut Islam sahaja dan dikecualikan penganut bukan Islam.
‘’Bahkan, pengharaman judi yang juga disokong oleh sebahagian bukan Islam tidak menyenangkan DAP dan angkatannya. Adakah semua ini termasuk alasan bahaya gelombang hijau? Walaupun Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz pernah mempelawa golongan bukan Islam untuk meminum arak sehingga pecah perut,’’ tanya beliau.
Abdul Hadi berkata, antara yang mereka tentang juga termasuklah arahan berpakaian menutup aurat yang diwajibkan kepada penganut Islam.
Beliau berkata, adapun kalangan bukan Islam pula mesti berpakaian sopan mengikut sifat kemanusiaan yang bermaruah dan dihormati oleh semua agama serta bangsa yang beradab.
‘’Tidak bersikap liberal sehingga tidak ada rasa malu seperti binatang yang tidak berakal dan tidak bermaruah yang sedang melanda negara Barat sekarang,’’ katanya.
Kini kata Abdul Hadi, Pas berjaya memberikan kefahaman kepada golongan bukan Islam tanpa paksaan mereka menganut agama Islam, sehingga berjaya ditubuhkan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) daripada kalangan mereka sendiri.
‘’Kenyataan bahaya gelombang hijau sangatlah ‘double standard’ terhadap Islam, dalam keadaan mereka boleh menerima segala ideologi ciptaan manusia termasuk ideologi paling ekstrem seperti liberalisme dan komunisme.
‘’Sehinggakan, negara Barat boleh mengiktiraf negara Komunis dan negara yang paling liberal, tiba-tiba menentang sekeras-kerasnya di mana-mana sahaja kewujudan negara Islam,’’ tegasnya.
Leave a Reply