SEPASANG suami isteri ditahan kerana terlibat dengan sindiket pengedaran dadah dan polis merampas pelbagai jenis bahan itu yang dianggarkan seberat lebih 10 kilogram (kg) dengan nilai setengah juta ringgit di Ipoh, pada Isnin.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, suami warga tempatan yang berusia 39 tahun sementara isterinya, warganegara China berusia 37 tahun masing-masing ditahan di sebuah rumah di Jalan Medan Ipoh, pada pukul 7.45 malam.
“Hasil serbuan pertama pihaknya menemukan dadah disyaki jenis ketamin anggaran berat 8.5 gram (g), lapan biji pil disyaki pil ecstacy anggaran berat 3.3g; lima biji pil disyaki pil erimin 5 anggaran berat 1.35g; dan serbuk dadah disyaki serbuk ecstacy anggaran berat 22.4g,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di Ipoh, hari in.
Katanya susulan itu Jabatan Siasat Jenayah Narkotik Kontinjen Perak menyerbu sebuah lagi rumah pada hari sama di Jalan Medan Ipoh yang dipercayai menjadi tempat penyimpanan dan membungkus dadah pada pukul 10.25 malam.
Katanya, hasil serbuan pihak polis menemukan dadah disyaki dadah jenis ketamin 757g; 2,765 biji pil disyaki pil ecstacy anggaran berat 1,088g; 15,250 biji pil disyaki pil erimin 5 anggaran berat 4.33kg; serbuk dadah disyaki serbuk ecstacy anggaran berat 1.02kg; 141 paket serbuk minumam disyaki serbuk ecstacy anggaran berat 3.43kg.
Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM538,646 selain turut dirampas adalah sejumlah peralatan yang dipercayai digunakan untuk membungkus dadah.
Tambahnya lagi, sebuah kereta jenis Nissan Almera dan wang tunai turut disita di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan jumlah keseluruhan bernilai RM41,200.
Mohd. Yusri berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek suami positif dadah jenis Ketamin, sementara hasil semakan mendapati kedua-dua mereka tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
Berdasarkan siasatan yang dijalankan katanya, kedua-dua suspek mula aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak dua tahun lalu.
“Dadah yang dirampas, disyaki untuk diedarkan di pasaran tempatan di Perak. Dianggarkan jumlah dadah yang dirampas ini boleh digunakan seramai 40,000 orang penagih dadah.
“Suami isteri itu yang juga penganggur berperanan membungkus dadah berkenaan yang dipercayai diperoleh dari selatan tanah air untuk diedarkan,” jelasnya lagi, lapor Astro Awani.
Tambahnya kes disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua-dua saspek direman selama tujuh hari mulai 27 Jun bagi membantu siasatan.
Leave a Reply