MASYARAKAT Kelantan, khususnya umat Islam diingatkan agar bersikap lebih dewasa dan matang terutamanya dalam tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata sikap sedemikian bakal mencerminkan peribadi seseorang sekali gus mengelakkan tercetusnya perbalahan dan perpecahan sesama sendiri.
“Kita telah menempuh beberapa kali pilihan raya, sepatutnya perkara ini mendewasakan kita.
“Oleh itu, berkempenlah secara matang dan dewasa dan tidak menimbulkan sebarang provokasi. Kalau timbul perbalahan mahupun perpecahan antara masyarakat itu tandanya masih kebudak-budakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Arafah #QuranHour di Masjid Sultan Muhammad II, di Kota Bharu hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) Marhaini Yusoff.
Mohamad Shukri juga menasihatkan orang ramai agar memilih pemimpin yang akan membawa kebaikan kepada masyarakat dalam PRN yang bakal diadakan.
“Kita nak pilih pemimpin, pilih mereka yang akan memperkenalkan perkara kebaikan kepada negara dan masyarakat. Jangan pula kita nak menempa kemajuan dan kebaikan tetapi kita melakukan perkara yang bercanggah dengan perkara itu,” katanya.
Mengulas mengenai majlis berkenaan, Marhaini berkata program Arafah #QuranHour bersempena dengan Hari Arafah merupakan penganjuran kali keenam yang turut diadakan secara serentak di beberapa lokasi berdaftar di Tanah Suci.
Katanya program yang disertai 700 peserta di Kelantan itu, turut diadakan di 18 lokasi membabitkan lapan negeri iaitu Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Perak, Selangor dan Pulau Pinang untuk melahirkan ejen perubahan dalam kalangan ummah.
“Kita juga berharap program ini dapat menjadi program wajib setiap tahun memandangkan ia mampu menjadi pencetus kebangkitan dalam menggerakkan pelbagai projek membina ummah,” katanya.
Leave a Reply