POLIS menahan tiga lelaki kerana menyimpan pelbagai senjata api, peluru, bom asap, bom ikan, gari dan peralatan membuat senjata di Kampung Gemencheh Ulu, Kuala Pilah.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd. Gani berkata, pada 6.30 pagi Isnin lalu sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD )Kuala Pilah melakukan serbuan di sebuah rumah di kampung berkenaan susulan maklumat dadah.
“Menerusi serbuan itu seorang lelaki berusia 30-an berjaya ditangkap.
“Susulan daripada serbuan pertama itu, pada pukul lebih kurang 7.30 petang sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuala Pilah membuat serbuan di dua lokasi berbeza di Johol dan membuat tangkapan dua lelaki lingkungan usia 40-an.
“Pemeriksaan ke atas kesemua tangkapan berkenaan menjumpai pelbagai senjata api turutan, peralatan membuat senapang angin serta peluru hidup yang disimpan dengan menyalahi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.
Amran berkata, hasil pemeriksaan dan rampasan membabitkan dua laras senapang angin, satu laras senapang patah buatan sendiri, satu pucuk pistol angin , 116 butir peluru hidup jenis penabur, dua butir peluru hidup saiz .0.38 special, satu pasang gari, satu butir bom asap, satu butir bom ikan buatan sendiri dan pelbagai peralatan untuk membuat senjata.
Menurutnya, semua rampasan dan tangkapan dibawa balik ke IPD Kuala Pilah untuk tindakan selanjutnya dan kesemua suspek direman selama empat hari bermula Selasa hingga Jumaat ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960,” katanya, lapor Harian Metro.
Leave a Reply