SEORANG pemandu lori maut selepas dihempap kertas kitar semula seberat kira-kira 600 kilogram (kg) di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Bukit Minyak, Simpang Ampat, Pulau Pinang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 malam itu, mangsa warga tempatan berusia 36 tahun yang cedera parah maut di lokasi kejadian.
Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang berkata, siasatan awal mendapati mangsa ialah pemandu lori kontena syarikat sub kontraktor.
Katanya, sub kontraktor berkenaan dilantik untuk menjalankan kerja menghantar dan memunggah set kertas kitar semula menggunakan kontena yang diterima daripada pembekal ke kilang berkenaan.
“Ketika sampai di kilang, mangsa membuka pintu kontena terlebih dahulu dan membuka lampu belakang lori.
“Semasa membuka lampu lori satu set mampatan kertas kitar semula yang mempunyai berat kira-kira 600 kg telah jatuh dan mengenai mangsa.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, susulan kejadian itu satu notis larangan dikeluarkan JKKP negeri untuk menghentikan kerja-kerja memunggah set kertas kitar semula itu serta-merta sehingga siasatan selesai.
Pada masa sama, ujar beliau, JKKP negeri juga akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran mengikut peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
“Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja yang mana mereka bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya di tempt kerja, membuat penilaian risiko seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.
“Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan,” katanya.
Tegasnya, kejadian seumpama itu boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).
Leave a Reply