Kereta bertembung lori tangki, bapa dan bayi maut

SEORANG bapa bersama anak lelakinya berusia 10 bulan maut dalam kemalangan di KM145 Jalan Kuantan-Johor Bahru di Kuantan, Pahang awal pagi tadi.

Dalam nahas kira-kira 1.15 pagi itu, peniaga berusia 30 tahun dari dari Pasir Gudang, Azirul Azeem Mazri meninggal dunia akibat parah di bahagian kepala, selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori tangki minyak.

Bayinya, Muhammad Adhwa Azirul Azeem yang turut parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Rompin.

Ketua Polis Rompin, Deputi Superintenden Azahari Mukhtar berkata, isteri mangsa, Farah Nasuha Johari, 30, yang juga guru dilaporkan selamat.

Katanya, pemandu lori tangki, Mohamad Fahmi Che Ali, 30, dari Kuala Terengganu, cedera ringan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa sekeluarga yang menaiki Perodua Myvi dalam perjalanan dari arah Johor Bahru menghala Kuantan.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung lori tangki minyak dari arah Kuantan menghala Johor Bahru,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Rompin untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mayat pemandu kereta yang tersepit dalam keretanya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *