TAN Sri Muhyiddin Yassin meluangkan masa meninjau aktiviti perniagaan sekitar Pusat Komersial dan Pasar Malam Taman Melawati semalam.
Menerusi catatan dalam Facebook miliknya, bekas Perdana Menteri itu tersentuh apabila orang ramai dan peniaga yang ditemuinya meluahkan masalah kenaikan harga barang serta kos sara hidup yang semakin menghimpit mereka.
Berikut adalah entri yang dimuat naik Pengerusi Perikatan Nasional (PN) selepas melakukan lawatan berkenaan;
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Apa khabar semua?
Semalam, saya meluangkan masa meninjau aktiviti perniagaan di sekitar Pusat Komersial dan Pasar Malam Taman Melawati, dua tempat tumpuan ramai penduduk di Hulu Kelang.
Turut bersama saya ialah YB Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bekas ADUN Bukit Antarabangsa.
Terdahulu, kami singgah solat Asar di Masjid Al-Hidayah sebelum minum teh dengan pengunjung di Restoran Nasi Kandar Deen yang terletak di Pusat Komersial Taman Melawati.
Saya dan Azmin mengambil kesempatan beramah mesra dengan para pengunjung yang kebanyakannya golongan muda yang singgah minum petang di situ.
Mereka yang ditemui bercerita tentang kos sara hidup yang semakin menekan khususnya bagi golongan muda yang baru memasuki dunia pekerjaan atau alam berumahtangga.
Sebahagiannya mengeluh mengenai harga barang keperluan asas yang naik mendadak dan secara diam-diam.
Ada juga yang bercerita, mereka terpaksa membuat dua pekerjaan, satu kerja hakiki dan satu lagi kerja di luar waktu pejabat bagi menampung kos kehidupan.
Saya kagum dengan semangat mereka yang tidak berputus asa berjuang demi kelangsungan hidup keluarga.
Saya dan Azmin kemudiannya singgah di pasar malam berdekatan yang menjadi tumpuan penduduk setempat membeli barangan dapur dalam perjalanan balik dari tempat kerja.
Selain membeli barangan saya dan Azmin juga mengambil kesempatan bertanya khabar dengan para peniaga serta bagaimana aktiviti jualan harian mereka sebagai peniaga dan penjaja pasar malam.
Hampir kesemua mereka mengeluh, jualan dan pendapatan tidak serancak ketika zaman sebelum pandemik, malah bekalan seperti ayam juga sukar diperolehi sebagaimana biasa.
Para pembeli menurut mereka, membeli barangan perlu sahaja dan sangat berhati-hati berbelanja kerana hampir kesemua barangan keperluan naik harga.
Para peniaga seperti mereka pula tidak boleh lagi menjual semurah dahulu kerana harga yang diperoleh daripada pembekal dan pemborong juga tinggi.
Saya memahami situasi ini dan minta mereka bersabar dan terus berusaha meneruskan hidup dan pada masa yang sama berdoa agar keadaan ekonomi negara kembali pulih, insya-Allah.
Leave a Reply