Guan Eng macam budak-budak – Sanusi

Oleh RIZQI ZABIDI

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyifatkan Pengerusi DAP bersikap seperti budak-budak apabila menuduhnya menggalakkan keganasan kerana mengaitkan peristiwa berkaitan penaklukan ‘Constantinople’ kira-kira 600 tahun lalu dengan Pulau Pinang.

Malah Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu turut menganggap Guan Eng sebagai seorang yang kelakar kerana membuat tuduhan sedemikian.

“Lawaklah Guan Eng ini, macam budak-budak. Orang lain buat apa pun, semua dianggap ancaman dan rasanya selepas ini kalau saya makan pun, mungkin beliau akan kata saya nak bagi sihat untuk melawannya.

“Saya rasa ini satu penyakit di peringkat pimpinan DAP. Orang lain semua tak betul dan mendatangkan ancaman tetapi kita tahu mereka justifikasikan perkara itu dari segi apa.

“Ucapan saya tentang ‘Constantinople’ itu adalah satu metafora dan ‘Constantinople’ pun tak ada sekarang ini kerana dah jadi Istanbul,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Penyerahan Rasmi Kenderaan Menteri Besar Dan Exco Kepada Kerajaan Negeri Berikutan Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di Alor Setar, hari ini.

Menurut Guan Eng, tindakan Muhammad Sanusi itu merupakan sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan adalah amat berbahaya untuk menjelaskan sesuatu isu dengan menggunakan istilah ‘ala perang’, walaupun seseorang individu itu mendakwa tidak bercakap mengenai penggunaan kekerasan berhubung sesuatu perkara.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berkata, metafora yang sering digunakannya merupakan satu bentuk seni dalam ucapan namun ada pihak yang tidak pandai untuk bercakap dan memahami bahasa Melayu.

“Saya rasa beliau kena perbetulkanlah banyak perkara sebelum bercakap tentang perkara tidak benar mengenai orang lain. Kena fahamkan dulu bahasa, tentang metafora dan sebagainya.

“Masih ingat lagi dulu beliau metaforakan dirinya sebagai Khalifah Umar Abdul Aziz? Yang itu tak salah pula sedangkan beliau bukan Islam pun dan akhirnya muncul skandal terowong, beli banglo serta isu tanah di Kampung Manggis,” katanya.

Dalam pada itu katanya, sikap ditunjukkan Guan Eng itulah sebenarnya yang berbahaya kerana hanya beliau saja boleh berbuat segalanya sedangkan orang lain tak boleh.

“Ada satu bangsa di dunia ini yang yang bersikap sedemikian dan mereka duduk di Israel. Mereka buat nuklear tak apa tetapi orang lain tak boleh, jenis macam itu.

“Nanti ‘depa’ kata saya samakan Guan Eng dengan Israel pula tetapi yang saya maksudkan perangai. Metaforanya semua benda nak ‘riau’ (merengek) orang salah, tetapi dia buat boleh dan ‘hangpa’ nak sokong lagi orang macam itu?” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *