Anggota polis cedera, lori kontena rempuh pagar, pondok kawalan IPD Tapah

SEORANG anggota polis cedera apabila sebuah lori kontena merempuh pagar dan pondok kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di Tapah, awal pagi ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan berkenaan pada pukul 1.20 pagi.

“Selepas sahaja menerima pangggilan, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah bergegas ke lokasi kejadian.

“Setiba jentera ke lokasi, didapati kemalangan melibatkan sebuah lori kontena melanggar pagar dan pondok polis IPD Tapah.

“Terdapat seorang anggota polis yang sedang bertugas di pondok kawalan dan mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan di Tapah.

Katanya, ketua operasi mengaplikasikan konsep menyelamat dan membawa mangsa yang cedera ke hospital menggunakan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II Zulkaply Hamad tamat pukul 1.49 pagi, lapor Astro Awani.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *