MIC Selangor mengesahkan akan diberi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Selangor pada pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.
Pengerusinya, M.B. Raja bagaimanapun berkata, parti itu belum dapat memastikan berapa jumlah kerusi yang akan diperuntukkan.
“Sebenarnya, apa yang Pengerusi BN (Barisan Nasional) beritahu dia akan maklumkan kepada Presiden kita, ada kerusi untuk kita tapi tak tahu berapa,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat jawatankuasa BN negeri Selangor di bangunan UMNO Selangor, Shah Alam, lewat malam tadi.
Raja berkata demikian ketika diminta mengulas tawaran kerusi yang diberikan kepada MIC Selangor dalam PRN akan datang.
Diminta mengulas lanjut, Raja berkata, soal pembahagian kerusi DUN hanya akan dimuktamadkan oleh pengerusi parti masing-masing dalam tempoh seminggu lagi.
Sementara itu, pembahagian kerusi untuk parti MCA pula masih menjadi teka-teki.
Ini selepas Pengerusi Perhubungan MCA Negeri Selangor, Ng Chok Sin gagal dijejaki meskipun difahamkan menghadiri sesi mesyuarat hampir 3 jam itu yang bermula sejak 8.30 malam tadi.
Sementara itu, dalam reaksi awalnya, Pengerusi UMNO Selangor, Megat Zulkarnain Omardin berkata, pihaknya meraikan semua permintaan atas semangat kepartian.
Namun tegasnya, faktor utama ialah sejauh mana calon parti komponen itu boleh meraih kemenangan bagi setiap kerusi yang ingin ditandinginya.
“Permintaan kita raikan atas semangat BN, tapi tak bermaksud satu, atau tak ada langsung atau lebih (kerusi yang akan diberikan). Jadi, ini tertakluk kepada perbincangan.
“Kita mesti lihat kemenangan. Jadi, kita akan pergi lebih lanjutlah dan itu tak ada masalah,” katanya.
Bagaimanapun, Megat Zulkarnain berkata, segala ketetapan akan diputuskan oleh presiden parti masing-masing.
“Mereka boleh mohon dan minta tetapi bukan saya yang akan putuskan. Ini akan diputuskan oleh diperingkat kepimpinan tertinggi.
“Maknanya, jawapan yang paling bagus adalah akan diputuskan oleh kepimpinan tertinggi parti masing-masing,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa BN negeri Selangor, di Shah Alam, lewat malam tadi.
Awal Jun lalu PH dan BN Selangor dilaporkan masih dalam proses rundingan mengenai pembahagian kerusi bagi pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Perkara ini selepas BN meminta PH menambah jumlah kerusi yang ditawarkan sebelum ini.
Beberapa sumber daripada PH dan BN memberitahu Malaysiakini, PH menawarkan 10 kerusi kepada BN.
Namun, gabungan itu meminta PH Selangor yang diketuai oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari agar menambahkan sekurang-kurangnya tujuh lagi kerusi menjelang PRN yang dijangkakan pada hujung bulan Julai ini.
Difahamkan, selain empat kerusi yang disandang oleh UMNO, PH menawarkan enam kerusi yang masing-masing dimenangi oleh Pas dan lima daripada enam kerusi yang dimenang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU 14 yang lalu kecuali DUN Dengkil.
Namun, beberapa sumber BN berkata, gabungan itu tidak berpuas hati dengan tawaran 10 kerusi berkenaan dan menyifatkan angka tersebut terlalu kerdil kerana sasaran mereka adalah 7 kerusi termasuk MCA dan MIC.
Pada PRU14, gabungan PH terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan Bersatu memenangi 51 daripada 56 kerusi DUN yang ditandingi.
UMNO menang empat kerusi manakala Pas pula hanya menang satu di Sijangkang.
Leave a Reply