SEORANG lelaki maut akibat tersepit dalam treler muatan pasir yang terbabas ke dalam gaung setinggi kira-kira 10 meter di Kilometer (KM) 43 Lebuhraya Karak-Bukit Tinggi di sini hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mangsa yang dikenali sebagai Mohamad Hasrul Abdul Halim, 33, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada pukul 3.45 pagi.
“Seramai 15 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong bersama tiga buah jentera dikerahkan ke tempat kejadian.
“Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian pemandu menggunakan peralatan hidraulik dan tali,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Ujar beliau, mangsa berjaya dikeluarkan pada pukul 6.44 pagi dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya lapor Sinar Harian.
Leave a Reply