Lagi kes buli pelajar sekolah tersebar

AKSI seorang pelajar sekolah ditindih, ditumbuk dan ditendang oleh pelajar lain tular di laman Twitter sejak kelmarin.

Menerusi perkongsian di laman Twitter @MALAYSIAVIRALL, kejadian tersebut dipercayai berlaku di sebuah sekolah di Sabah, namun tidak dapat dipastikan lokasi sebenarnya dan tarikh insiden tersebut.

Berdasarkan klip video berdurasi 1 minit 21 saat itu, kelihatan pembuli menindih, menumbuk dan menendang mangsa bertalu-talu sambil dirakam oleh beberapa rakan yang lain.

Perkongsian itu juga kini meraih lebih 1 juta tontonan sehingga hari ini.

Susulan tersebarnya rakaman tersebut, rata-rata pengguna Twitter berang dengan kejadian itu menggesa pihak berkuasa seperti Kementerian Pelajaran (KPM) dan Polis Diraja Malaysia menyiasat perkara terbabit segera.

“PDRM, KPM, apa lagi? Siasat nak tangkap pembuli. Makin hari makin ramai gengster sekolah,” seru @Jacknenas.

“Bagus budak zaman sekarang. Buli terus rakam, lepas itu muat naik di media sosial, senang bagi polis buat kerja. Otak separuh sangat,” ciap @aiyysie.

“Kes buli makin menjadi-jadi. Rasanya KPM boleh buat satu video tutorial khas tunjuk lepas buki masuk penjara, kena hukum. Biar ada insaf mereka ini,” cadang seorang pengguna Twitter, lapor Kosmo!.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *