BN-PH kerajaan rapuh, kenyataan Tony Pua burukkan keadaan – Pemuda UMNO

Oleh BADLISHAH MAT

ISU bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang melabel Barisan Nasional (BN) sebagai ‘pakatan korup’ membahayakan kedudukan gabungan itu bersama Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan Madani yang disifatkan sebagai rapuh dan mudah retak.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jerlun yang juga Bendahari Pemuda UMNO Kedah, Nazri Arshat dalam kenyataannya berkata, Tony bertindak songsang dan tidak berfikir panjang kerana bersikap biadab meretakkan perpaduan Malaysia Madani yang sedang dibina BN-PH.

Katanya, situasi itu memberi gambaran buruk terhadap kerjasama yang sedang disemai kerana bekas Ahli Parlimen Damansara itu ibarat melakukan khianat dengan meletakkan racun di sumur yang subur, sedangkan BN-PH bertungkus-lumus membajai agar sumur tersebut menghasilkan nikmat kepada rakyat dan negara.

“Biarpun menyedari bahawa kerajaan perpaduan BN-PH adalah rapuh dan mudah retak pada bila-bila masa, namun Tony tidak segan silu bertindak biadab dengan menghamburkan penghinaan terhadap rakan kerjasama kerajaan Perpaduan, iaitu BN.

“BN sebelum ini telah berlapang dada, rela hati berkorban dan sanggup bersama PH untuk membentuk kerajaan Perpaduan atas titah Yang di-Pertuan Agong setelah PH mahupun Perikatan Nasional (PN) gagal meraih majoriti bagi membentuk kerajaan,” katanya.

Nazri berkata, sekiranya DAP tidak bertindak memecat Tony, ia menandakan parti itu bersetuju dengan kenyataan bekas Setiausaha Publisitinya dan bakal melahirkan persepsi buruk terhadap kerjasama BN-PH.

“Apatah lagi kebiadapan Tony berlaku menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri tidak lama lagi, semestinya ia memberi impak negatif kepada imej dan reputasi BN-PH kelak.

“Saya akui BN tidak bersifat ‘maksum, suci dan tulus’, namun yakinlah bahawa kepimpinan kami kini sedang serius berusaha menghapuskan korupsi sama ada di dalam parti mahupun kerajaan, bagi membina semula keyakinan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena, Mohd. Farhan Ahmad menyifatkan kenyataan Tony yang terang-terangan menyerang BN menunjukkan pendekatan tidak bermaruah dan tidak patut dilakukan oleh pemimpin politik yang mana kepimpinan tertinggi organisasinya adalah sebahagian kerajaan yang dibentuk hari ini.

Menurutnya, kenyataan seperti itu jelas menunjukkan sikap yang tidak beradab dan tidak membina suasana politik yang sihat, apatah lagi perpaduan dalam kalangan masyarakat yang agak rapuh selepas kemelut politik.

“Beliau sepatutnya menggunakan platformnya untuk membawa perdebatan yang bermutu dan mencari penyelesaian bagi isu-isu yang dihadapi oleh negara kita. Namun, tindakan menyerang BN secara terbuka tanpa sebarang bukti kukuh hanya mencerminkan kelemahan dalam argumen beliau.

“Ia juga mencalarkan hubungan baik antara ahli parti komponen kerajaan perpaduan. Selain itu, kenyataan Tony juga menunjukkan sikap yang tidak bertanggungjawab dalam mencetuskan kebencian politik dalam suasana politik yang sudah cukup tegang,” katanya.

Justeru, Mohd. Farhan berharap Tony dan pemimpin politik lain menghentikan pendekatan biadab dalam perdebatan politik. Sebaliknya, berfikir secara matang, membina argumen yang kukuh dan mengamalkan cara yang bermaruah dalam mencapai matlamat politik masing-masing.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *