4 termasuk bayi maut, dua kanak-kanak cedera kereta bertembung treler.

Oleh RIZQI ZABIDI

EMPAT sekeluarga termasuk seorang bayi berusia lapan bulan maut dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dengan treler di Jalan Kulim menuju ke Baling, Kedah, hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Abdul Rahim Che Omar berkata, kemalangan kira-kira pukul 4 petang itu turut menyebabkan dua kanak-kanak cedera parah.

Katanya, mangsa yang meninggal merupakan seorang lelaki berusia 32 tahun, dua wanita berumur 30 dan 59 tahun serta bayi lelaki berusia lapan bulan.

“Kami menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 4.06 petang. Terdapat enam mangsa berada dalam kereta Perodua Bezza tersebut. Empat daripadanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) manakala dua lagi kanak-kanak berusia dua dan enam tahun cedera parah,” katanya.

Abdul Rahim berkata, kesemua mereka dipercayai tersepit dalam kenderaan itu sebelum dikeluarkan dengan peralatan khas rescue tools.

“Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kulim dengan bantuan ambulans KKM, manakala empat yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, seorang saksi, Mohamad Redzuan Adam, 41, yang menaiki kereta bersama keluarganya berada di belakang kenderaan mangsa terkejut melihat kejadian itu.

Katanya, ketika mereka berada di belakang kereta mangsa secara tiba-tiba kereta terbabit hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

“Saya terkejut apabila melihat kereta di hadapan saya terhuyung-hayang sebelum bertembung dengan sebuah treler. Kereta itu berpusing sebelum terbabas di bahu jalan, saya dalam keadaan panik terus memberhentikan kereta dan menolong mangsa.

“Kami hubungi pihak polis dan bomba bagi membantu mangsa,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *